top of page

RM2 juta baiki cerun runtuh di Kampung Panchor


RM2 juta baiki cerun runtuh di Kampung Panchor Harian Metro www.hmetro.com.my
TEO Kok Seong (enam dari kiri) mewakili Menteri Besar pada majlis penyerahan Projek Membina dan Membaiki Cerun Runtuh Rumah Rakyat Panchor, petang ini. FOTO Mohd Amin Jalil.

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan membelanjakan sebanyak RM2 juta bagi membina dan membaiki cerun runtuh di Rumah Rakyat Panchor, di sini, yang berlaku sejak lebih lapan tahun lalu.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata cerun runtuh di kawasan berkenaan dikesan berlaku sejak 2014 akibat gelongsoran tanah yang disebabkan hujan lebat.


Katanya, seramai 110 orang ahli keluarga daripada 21 buah rumah sepanjang 180 meter di kawasan berkenaan terkesan akibat runtuhan itu sekali gus menjejaskan keselamatan mereka.


"Tindakan awal yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah menutup kawasan tanah runtuh dengan kanvas memandangkan tanah di kawasan runtuhan adalah tanah milik individu.


"Namun demi keselamatan penduduk kawasan terbabit secara menyeluruh dan jangka panjang, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi melaksanakan kerja pembaikan.


"Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri diminta melaksanakan kerja-kerja membina serta membaiki cerun berkenaan yang dimulakan tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 17 November lalu," katanya.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong, pada Majlis Penyerahan Projek Membina dan Membaiki Cerun Runtuh Rumah Rakyat Panchor di sini, petang ini.


Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim; Pengarah JKR negeri, Wan Hasnan Wan Musa dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Zainal Hussin.


Aminuddin yakin dengan siapnya projek berkenaan, penduduk di kawasan itu akan lebih selesa dan selamat untuk terus mendiami rumah masing-masing.


"Penduduk setempat boleh mengemukakan aduan sekiranya terdapat kecacatan berlaku sepanjang tempoh ini kepada pihak JKR dan JKR akan terus memantau kefungsian struktur binaan ini," katanya.


Sementara itu, Wan Hasnan ketika ditemui berkata, dalam tempoh dua bulan ini, JKR negeri menerima empat aduan berkaitan tanah runtuh yang berlaku sekitar daerah ini dan Rembau.

Beliau berkata, pihaknya bertindak proaktif dalam usaha memperbaiki kawasan runtuhan berkenaan.


"Kita sedar setiap kali berlaku runtuhan tanah atau cerun boleh menjejaskan keselamatan dan nyawa orang ramai.


"Tindakan segera perlu diambil dan dalam masa sama orang ramai juga diminta berwaspada terutama membabitkan kawasan kediaman.


"Orang ramai boleh melaporkan sebarang kejadian berkaitan tanah atau cerun runtuh kepada Bilik Gerakan Bencana yang ditubuhkan kerajaan negeri," katanya.


Sumber: Harian Metro


1 view

Commentaires


bottom of page