
KUALA LUMPUR: Prospek perniagaan Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) pada tahun kewangan 2023 (FY23) diangka menjadi lebih baik berbanding tahun ini berikutan pembukaan semula ekonomi, yang mana pastinya akan membawa lebih banyak peluang.
Jangkaan itu dibuat meskipun ekonomi negara ketika ini berdepan tekanan inflasi, kesan daripada peristiwa geopolitik ke atas pasaran komoditi dan rantaian bekalan global serta penutupan berselang-seli di China.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rosland Othman, berkata seperti yang pernah diumumkan, peruntukan Bajet 2022 untuk Sabah dan Sarawak adalah positif untuk sektor pembinaan di kedua-dua negeri itu dan juga untuk industri berkaitan pembinaan sektor pembuatan.
Kerajaan pusat memperuntukkan RM4.6 bilion untuk Sarawak dan RM5.2 bilion untuk Sabah di dalam Bajet 2022.
"Kami yakin dengan pembukaan semula sempadan negara, langkah untuk menyokong ekonomi dan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik akan membantu bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi domestik tetapi juga mengurangkan risiko penurunan.
"Bagi kami, penerusan atau mempercepatkan projek infrastruktur besar seperti MRT 2, LRT 3, Sistem Transit Rapid Johor-Singapura, Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya Central Spine Road (CSR), Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2, dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru adalah berita positif.
"Ini kerana ia bermakna terdapat keperluan berterusan untuk kerja kontrak serta bahan binaan untuk projek berkenaan. Kami percaya teknologi, seperti sistem pencetak 3D yang telah kami laburkan dan sistem binaan berindustri (IBS), boleh mengurangkan kos yang lebih tinggi dan memastikan projek disiapkan tepat pada masanya selain teknologi AIPODS kami membantu dalam mengesan kerosakan jalan untuk projek penyelenggaraan kerja jalan syarikat," katanya kepada BH baru-baru ini.
Mengulas lanjut Rosland berkata, bagi bahagian pembuatan, penjualan produk konkrit pratuang dan cerucuk asas kekal kukuh, dengan permintaan daripada Lebuhraya Pantai Sarawak dan jambatan; Sarawak Trunk Road; Sabah-Sarawak Link Road di Limbang dan Lawas; Grid Bekalan Air Sarawak; talian penghantaran kuasa dan pencawang dan sekolah daif, klinik kesihatan serta bangunan kerajaan.
"Kami menjangkakan lebih banyak pelaburan langsung asing akan mengalir masuk ke Taman Perindustrian Samajaya Kuching dan Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu, yang akan mendatangkan permintaan atau cerucuk asas dan produk konkrit pratuang.
"Kami juga menjangkakan permintaan untuk komponen IBS meningkat dengan sokongan aktif kerajaan ketika perniagaan berusaha untuk mengatasi kekurangan buruh," katanya.
Rosland menambah, syarikat itu mempunyai kontrak di dalam tangan bernilai RM1.52 bilion setakat Julai 2022 yang memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2026.
"Kami telah membida tender untuk projek bernilai RM1.3 bilion sehingga akhir Julai 2022.
Antara projek yang kami tender ialah projek pembinaan jalan raya, menara telekomunikasi dan monopole, projek pembangunan berorientasikan pengangkutan, loji kuasa hidro, loji rawatan sisa, projek bangunan bertanah dan bertingkat tinggi," katanya.
SCIB adalah pakar kejuruteraan awam dengan tumpuan pada pekerjaan Kejuruteraan, Pembuatan, Pembinaan dan Pentauliahan (EMCC).
Syarikat itu mempunyai kehadiran kukuh dalam pembuatan bahan binaan dan mengendalikan tiga kilang di Kuching, Sarawak – satu di Kawasan Perindustrian Pending dan dua kilang di Taman Perindustrian Demak Laut.
Sumber: Berita Harian
Comentarios