KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mempercepatkan projek tebatan banjir termasuk di Johor dengan menggunakan kaedah ‘fast-track’ atau pantas dalam kelulusan tender meskipun diperkenalkan sistem tender terhad, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.
Beliau yang memberi jaminan itu berkata, pemberian segera projek tebatan banjir tersebut susulan keadaan banjir yang melanda beberapa negeri.
"Kalau kita guna proses tender biasa, ia tidak boleh (diselesaikan) dalam bulan Jun dan Julai. Jadi, saya minta fast track (supaya) diselesaikan bulan Jun dan take off pada Julai,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibharim Tuan Man pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, mengenai proses tender dan syarikat yang dianugerahkan projek tersebut.
Anwar yang juga Menteri kewangan berkata, selain Johor, projek tebatan banjir termasuk Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan; Terengganu dan Kedah juga disegerakan menggunakan kaedah ‘fast-track’.
Beliau juga memaklumkan belum ada mana-mana syarikat dianugerahkan projek tebatan banjir di Johor dan beberapa negeri lain setakat semalam.
Sebelum ini, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat mengumumkan enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan segera selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.
Projek itu melibatkan Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor dan pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor serta projek lain iaitu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.
Sumber: Sinar Harian
Comments