
KUALA TERENGGANU: Projek pembinaan sungai buatan bernilai RM300 juta bagi mengurangkan risiko banjir, terutama di daerah Kemaman, dijangka mula dilaksanakan awal tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat, berkata projek sungai berjarak sembilan kilometer bagi mengurangkan banjir di beberapa kampung di bandar Chukai itu akan dilakukan selepas kerja pengambilan balik tanah penduduk selesai.
Katanya, projek bermula dari Kampung Paman ke Tasik Bungkus di Ibok, dijangka mengambil masa kira-kira enam tahun untuk disiapkan.
"Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memberi kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk kerja melebarkan sungai tiruan sejauh 250 meter dengan ketinggian dua meter.
Apabila siap, projek ini dijangka dapat meminimumkan pertembungan air sungai Air Putih dan Sungai Cerul di Hulu Kemaman," katanya ketika dihubungi.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai berkata, banjir besar yang melanda Kemaman sehingga menenggelam dan merosakkan kediaman penduduk pada tahun lalu berpunca daripada pertembungan air, terutama apabila berlaku fenomena air pasang besar.
"Ia menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Chukai seperti Bandar Baru Bukit Mentok, Kampung Pengkalan Pandan dan Kampung Tempurung tenggelam ketika banjir tahun lalu," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri.
Katanya, Terengganu dijangka dilanda hujan lebat ketika musim Monsun Timur Laut mulai akhir bulan ini yang boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.
"Kita menjangkakan peningkatan taburan hujan sehingga 3,600 milimeter (mm) tahun ini berbanding hanya 3,000 (mm) tahun lalu. Jika taburan hujan antara 300 hingga 400mm sehari, banjir mungkin berlaku seperti di Gunung Jerai, Kedah, iaitu disebabkan kepala air," katanya.
Sehingga kini, katanya, taburan hujan di negeri ini adalah sebanyak 2,000mm dengan kadar taburan dalam sehari sekitar 80mm.
Sumber: Berita Harian
Kommentare