top of page

Projek Sistem Transit Rapid perlu jadi keutamaan Malaysia-Singapura


Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura
Tambak Johor adalah antara laluan darat tersibuk di dunia, dengan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, berulang-alik setiap hari dari Johor Bahru ke republik itu.

Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura

JOHOR BAHRU: Komitmen projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, perlu menjadi keutamaan buat Malaysia dan Singapura.


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri bersetuju dengan pandangan Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran, bahawa projek RTS itu amat penting buat kedua-dua negara.


Apatah lagi katanya, Tambak Johor adalah antara laluan darat tersibuk di dunia, dengan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, berulang-alik setiap hari dari Johor Bahru ke republik itu.


"Saya berpeluang berjumpa Menteri Pengangkutan Singapura, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan Singapura, S Iswaran, hari ini.


"Kami bersetuju bahawa projek RTS Johor Bahru-Singapura adalah keutamaan bagi kedua-dua negara.


"Ia penting dalam usaha meningkatkan kesaling-hubungan, yang bukan sahaja penting untuk logistik perniagaan, tetapi juga hubungan sesama rakyat kedua-dua negara.


"Saya menyambut baik cadangan Iswaran supaya dalam kita memantau secara dekat perkembangan projek infrastruktur itu, kita juga perlu menetapkan sasaran jangka masa pendek dan sederhana, supaya kemajuan projek kekal dalam landasan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Projek RTS Johor Bahru-Singapura dijadualkan siap menjelang Disember 2026, dijangka mampu menarik 35 peratus daripada 350,000 orang yang bergerak melalui Tambak Johor setiap hari.


Rangkaian itu akan mempunyai kapasiti penumpang sebanyak 10,000 orang sejam, dengan itu membantu meringankan kesesakan trafik di lebuh raya.


Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, beliau turut mengulangi komitmen yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bagi mengatasi kesesakan di Tambak Johor.


"Ia termasuk langkah penambahan laluan motosikal untuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).


"Saya juga berkongsi keterbukaan Datuk Seri Anwar untuk melihat kepada cadangan melebarkan laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ke Johor. Sudah semestinya hasrat ini, jika direalisasikan, dapat memberi manfaat kepada komuniti perniagaan di Singapura yang ingin melabur di Malaysia.


"Tidak ketinggalan, cadangan perkhidmatan feri baharu dari Puteri Harbour ke Tuas, yang bertujuan sebagai antara solusi dalam mengurangkan kesesakan laluan di Laluan Kedua (Second Link) Malaysia–Singapura," katanya.


Sumber: Berita Harian


10 views

Comments


bottom of page