top of page

Projek PSR perlu dibatalkan, kaji semula kelulusan EIA


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) perlu dibatalkan kerana ia akan memberi kesan serius dan negatif kepada sosioekonomi serta alam sekitar.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wang Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek PSR yang diberikan pada tahun 2019 juga harus dikaji semula.


"Ketika saya menjawat jawatan Menteri Sumber Ali dan Alam Sekitar pada tahun 2017, perkara ini ada dibawa kepada saya dan saya membantah projek pembangunan terbabit.


"Bagaimanapun, saya difahamkan laporan EIA diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 25 Mei 2019, ketika itu saya tidak bersetuju kelulusan diberikan dan menyokong supaya projek terbabit dibatalkan," katanya dalam kenyataan, semalam.


Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang bercadang melaksanakan projek PSR dengan keluasan lebih 2,600 hektar bagi membina tiga pulau buatan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP), dianggar bernilai RM49 bilion dan melantik SRS Konsortium sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).


Projek mega itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak dengan golongan nelayan tradisi di Pulau Pinang dikatakan paling teruk terjejas, selain ia dilapor boleh mengubah sempadan laut negara dan mungkin menimbulkan masalah dengan negara jiran.


Kontroversi bagi membangunkan tiga pulau buatan itu terus membelenggu hampir 1,500 nelayan tradisi di kawasan berkenaan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut sebagai punca pendapatan, sejak ia diperkenalkan pada 2013.


Wan Junaidi berkata, laporan EIA dikemukakan sebelum ini jelas menyatakan projek berkenaan boleh mengakibatkan kemusnahan kekal kepada ekosistem laut.


Katanya, keadaan itu boleh mengakibatkan golongan nelayan terdedah kepada kesusahan kerana hasil perikanan yang menjadi sumber pendapatan berkurangan.


"Projek terbabit boleh memberi kesan kepada kelangsungan hidup kira-kira 1,800 nelayan dan keluarga mereka di sekitar Pulau Pinang, akhirnya komuniti ini akan hilang begitu saja.


"Bukan itu saja, ia bakal memberi kesan kepada kira-kira 4,500 nelayan di Perak dan Kedah yang bergantung harap kepada sumber maritim di kawasan berkenaan," katanya.


Beliau berkata, negara tidak boleh membenarkan pembangunan projek mega terbabit kerana ia bukan saja memberi kesan kepada alam sekitar, malah memberi imej buruk kepada Malaysia pada peringkat antarabangsa.


Sumber: Berita Harian

64 views
bottom of page