PASIR PUTEH: Projek membangunkan kawasan Tok Bali perlu diberi keutamaan kerana ia berpotensi menjadi pemacu utama dalam transformasi ekonomi di Kelantan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sehingga Jun lalu, kerajaan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memperuntukkan sejumlah RM297.7 juta bagi membangunkan kawasan itu.
Katanya, sebanyak RM200 juta untuk pembangunan Taman Industri Tok Bali (TBIP), RM67.7 juta bagi Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan RM30 juta untuk menaik taraf Jalan Tok Bali-Pasir Puteh.
"Pada masa sama, pelaburan komited daripada swasta sehingga Jun lalu berjumlah RM1.75 bilion dan daripada jumlah itu, RM329 juta sudah direalisasikan.
"Bagi memastikan projek ini bakal memacu ekonomi dan aktiviti perdagangan rentas sempadan, langkah pelaksanaan pembangunan Pelabuhan Darat Pasir Puteh bersama Pelabuhan Komersial Tok Bali yang membabitkan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan beberapa agensi lain serta sektor swasta bersama ECERDC.
"Perancangan membangunkan Tok Bali memberi penekanan kepada sektor minyak dan gas, pembuatan, logistik dan perkhidmatan serta sektor tradisi seperti industri perikanan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali yang dilakukan secara maya.
Mustapa berkata, semua sektor ini berupaya untuk mempelbagaikan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri itu serta memberi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan membuka peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat.
Katanya, kekangan pandemik COVID-19 tidak menghalang kerja pembangunan dan kerajaan yakin projek yang dirancang bakal mengurangkan impak pandemik di lokasi itu.
"Fokus utama jawatankuasa yang ditubuhkan Mac lalu untuk memastikan penyelarasan pembangunan secara komprehensif, memudah cara pelaksanaan projek dan menarik pelaburan bagi mempercepat pembangunan serta memacu pertumbuhan ekonomi.
"Kerajaan menyasarkan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Tok Bali menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi. Projek ini akan membawa manfaat dan limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan," katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri memulakan perancangan untuk membangunkan Pelabuhan Darat Pasir Puteh selaras pembangunan sedia ada supaya dapat menawarkan perkhidmatan sokongan dan mewujudkan ekosistem yang kondusif.
"Mesyuarat memutuskan supaya Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) mempercepatkan pelaksanaan kajian sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand (KSAMT) dengan mengambil kira impak pembangunan Tok Bali kepada pembangunan kawasan sempadan di Kelantan.
"Selain itu, ECERDC sedang melaksanakan Pelan Transformasi Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali yang akan memperkukuhkan rantaian nilai perikanan dengan kemudahan infrastruktur bagi menyokong aktiviti hiliran dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan bagi menghasilkan produk berasaskan ikan bernilai tinggi," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments