KUALA LUMPUR: Projek infrastruktur, khususnya pengangkutan awam akan merancakkan ekonomi dan memangkin pertumbuhan Malaysia pasca pandemik COVID-19.
Pengarah Urusan Kumpulan Savills Malaysia, Datuk Sr Paul Khong, berkata ini terutama akan disumbangkan oleh fokus kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang.
Beliau berkata, MRT3 akan memacu pertumbuhan projek pembinaan dan membuka kunci nilai di sekitar lokasi stesen MRT.
"Kami juga berharap agar pembinaan MRT2 dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) akan diselesaikan menjelang 2023 selepas kerja pembinaan ditangguhkan kerana sekatan pergerakan pada 2020 dan 2021.
"Ini kerana, tahun lalu masih menjadi tahun yang mencabar malah kini pada permulaan 2022, Malaysia dan seluruh dunia masih dilanda COVID-19.
"Bagaimanapun, kami berharap tahun ini akan menjadi lebih baik untuk semua sektor. Kami yakin walaupun terdapat pelbagai ketidaktentuan, ekonomi global akan kekal tinggi pada 2022," katanya dalam satu kenyataan.
Khong berkata, berlaku peningkatan kukuh dalam aktiviti pasaran selepas semua sektor ekonomi dibuka semula pada suku keempat tahun lalu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Beliau berkata, sektor perniagaan berharap tahap vaksinasi yang tinggi di seluruh negara akan turut mempercepatkan pemulihan.
Mengulas mengenai pasaran kediaman pula, Khong berkata sektor itu dijangka bertambah baik pada 2022 walaupun harga transaksi masih kekal lemah.
"Memandangkan manfaat Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan dihentikan sehingga 2022, kami melihat beberapa aktiviti yang lebih kukuh menjelang penutupannya. Diskaun yang diberikan kepada pelbagai jenis hartanah kediaman memberi peluang kepada ramai pembeli untuk memiliki rumah.
"Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2022 untuk mengawal inflasi, bagaimanapun, kadar faedah pada masa ini dijangka kekal menggalakkan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comentários