Projek mega tidak terjejas walaupun ringgit susut
- Sep 19, 2022
- 1 min read

KULAI: Projek berskala besar Kementerian Pengangkutan berjalan mengikut jadual dan tidak terkesan dengan penyusutan nilai ringgit.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) dari Johor ke Woodlands di Singapura, Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru berjalan seperti dijadualkan.
Katanya, pembinaan ECRL sudah mencapai 33 peratus.
"Ia tidak akan terkesan dengan sebarang kejatuhan nilai wang kita ... tidak akan menjejaskan kontrak. Projek itu akan tetap berjalan. Kita mempunyai jadual untuk pengoperasian pada 1 Januari 2027.
"Saya rasa kita akan terus dan kita akan merancakkan lagi pembinaan kerana setakat ini, ECRL 1,076 tapak (besar dan kecil) sedang dalam proses pembinaan secara seiring.
"Malah MRT2 kita sudah siap juga pemasangan sebelum siap awal tahun depan. Kita boleh beroperasi sepenuhnya. Kita baru sahaja membuka tender untuk MRT3 dan akan ditutup pada 30 September ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan MCA Johor di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting.
Ka Siong berkata, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru juga mengikut jadual dan dijangka siap pada 2024.
"RTS masih berjalan. Setakat ini lebih 20 peratus dari keseluruhan.
"Saya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Singapura tentang isu teknikal yang perlu diselesaikan. Pertemuan dijangka diadakan dalam tempoh sehari atau dua hari lagi," katanya.
Sumber: Berita Harian





Comments