top of page

Projek Ladang Solar Terapung Danau Tok Uban dijangka siap Mac 2023


Projek Ladang Solar Terapung Danau Tok Uban dijangka siap Mac 2023 Berita Harian www.bharian.com.my
Takiyuddin mendengar penerangan mengenai perkembangan Projek Ladang Solar Terapung Danau Tok Uban, semalam. - NSTP/SYAHERAH MUSTAFA

PASIR MAS: Pelaksanaan projek Ladang Solar Terapung Danau Tok Uban yang bakal memberi manfaat kepada 40,000 rumah di Kelantan, sudah mencapai kemajuan lebih 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2023.


Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ladang solar terapung membabitkan kapasiti tenaga 100 megawatt itu adalah projek ikonik bertaraf dunia yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Malaysia.


Beliau berkata, projek itu juga akan dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida hingga mencecah 100,000 tan setiap tahun, iaitu nilai amat besar dan penting dalam usaha berkenaan.


"Ia turut menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Kelantan seperti menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, serta memberi sumber pendapatan baharu kepada kerajaan negeri melalui bayaran pajakan dan lesen yang dikeluarkan.


"Selain itu, projek ini mewujudkan industri sampingan dalam bidang solar sebagai pembekalan dan penyelenggaraan. Ia juga mewujudkan industri akuakultur, selain pelancongan yang lebih teratur serta sistematik.


"Pembekalan tenaga bersumberkan solar terapung ini juga dibawa ke Grid Kebangsaan hasil kerjasama serta dukungan kuat daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya kepada pemberita selepas melawat persiapan akhir Projek Ladang Solar Terapung Danau Tok Uban, di sini, semalam.


Takiyuddin berkata, kerajaan amat komited terhadap program peralihan tenaga bagi mengurangkan pelepasan gas karbon.


"Komitmen ini dizahirkan melalui Dasar Tenaga Negara 2021-2040 yang dilancarkan pada 19 September lalu. Usaha kerajaan itu perlu disokong menerusi pembabitan berterusan syarikat swasta dalam memastikan komitmen mengurangkan pelepasan karbon dapat dicapai.


"Rakyat Kelantan harus turut berbangga dengan pencapaian ini dan memanfaatkan peluang yang ada, khususnya dalam bidang akuakultur dan pelancongan," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page