top of page

Projek kereta api laju mungkin diteruskan, Johor sedia bekerjasama


Projek kereta api laju mungkin diteruskan, Johor sedia bekerjasama Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar fail. Ilustrasi Stesen Iskandar Puteri, Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR). - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura berkemungkinan akan diteruskan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han berkata kerajaan negeri akan memutuskan jenis kerjasama selepas Kementerian Pengangkutan (MOT) mula mengusahakan kebolehlaksanaan projek itu.


"Kami perlu lihat cadangan MOT terlebih dahulu dan kemudian kerajaan negeri akan memberi respons bagaimana kerajaan negeri boleh bekerjasama terutamanya melibatkan isu tanah, kebenaran merancang dan sebagainya.


"Kami berharap kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan Perpaduan baharu ini dapat menimbang semula kebolehlaksanaan projek itu supaya ia boleh mewujudkan limpahan ekonomi di Johor," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Simposium Inisiatif 'Belt and Road' di Universiti Teknologi Malaysia, di sini, hari ini.


Ditanya sama ada penyambungan semula projek HSR akan menangani lebihan hartanah mewah yang tidak terjual di Johor, Lee berkata HSR mungkin membantu sebahagiannya kerana projek HSR dijangka mewujudkan limpahan ekonomi dan menarik lebih ramai pekerja berkemahiran.


"Sebagai contoh, syarikat multinasional yang berpangkalan di Singapura mungkin memindahkan beberapa operasi ke Johor untuk penjimatan masa perjalanan.


"HSR akan mewujudkan gelembung ekonomi yang lancar antara Malaysia dan Singapura," katanya.


Terdahulu dalam ucapannya Lee berkata beliau bersetuju dengan pandangan umum bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk menyemak semula dan menyambung semula projek HSR di bawah kerajaan baharu.


"Tidak boleh membuang masa...pandemik telah menjejaskan trajektori pertumbuhan ekonomi negara, HSR mungkin membantu bukan sahaja menuju ke landasan yang betul tetapi mempercepatkan tindakan untuk merebut peluang terhadap ekonomi global yang berkembang pesat sekarang." katanya.


Pada 22 Ogos 2022, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan hasrat untuk mempercepatkan penyambungan semula projek HSR dengan Singapura.


Ia susulan kenyataan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 29 November 2021 yang terbuka kepada idea cadangan HSR yang baharu.


Kedua-dua negara mula-mula menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek itu pada 13 Disember 2016 tetapi menamatkan projek itu pada 1 Januari tahun lepas selepas mengalami beberapa kelewatan.


Projek bernilai RM110 bilion yang melibatkan pembangunan sepanjang 350 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada 90 minit sahaja.


Sumber: Berita Harian


19 views

Comments


bottom of page