KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan telah mengarahkan projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata penangguhan projek membabitkan nilai RM5.7 bilion itu kerana terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus.
"Projek itu telah diberikan surat setuju terima (SST), dasar Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan ialah bagi melihat semula sama ada tatacara perolehan dan tata kelola sesuatu perbelanjaan yang dikeluarkan mengikut peraturan ditetapkan," katanya ketika sidang media di Bangunan Parlimen, semalam.
Ahmad Zahid berkata, kementeriannya mengambil ketetapan agar tatacara perolehan diikuti sepenuhnya termasuk membuka tender-tender supaya projek itu dilaksanakan selepas proses tender disempurnakan.
Sementara itu, beliau berkata KKDW tidak akan berkompromi terhadap pelaksanaan infrastruktur di luar bandar terutama di kawasan terjejas banjir termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Kita takkan berkompromi dari segi pelaksanaan terutama jeda waktu dan akan berikan keutamaan di kawasan terjejas banjir seperti jambatan runtuh, rumah terjejas dan minta pegawai kementerian dan agensi melaksanakannya dengan segera," katanya.
KKDW juga berharap kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kementerian bagi memastikan setiap projek pembangunan dirancang berjalan mengikut garis panduan dan waktu ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman dipetik sebagai meminta Kementerian Kewangan memberi penjelasan mengenai pelaksanaan Jana Wibawa, iaitu program jana ekonomi pemerkasaan kontraktor Bumiputera berwibawa, berkaitan satu kontrak runding terus yang dianugerahkan kepada syarikat Samling Resoures Sdn Bhd bagi membina jalan Sarawak-Sabah Link Road, dari persimpangan Long Lopeng di Lawas, berjumlah RM1.13 bilion.
Menurutnya berdasarkan penjelasan awal Menteri Kewangan kepada soalan asal Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli pada 5 Oktober lalu, menyatakan kriteria memberi kaedah pengecualian perolehan runding terus berdasarkan lima kriteria.
Kriteria tersebut ialah mengenai kepentingan awam yang perlu disegerakan, kedua penyeragaman barangan, ketiga berkaitan pemegang francais, keempat membabitkan keselamatan dan strategik, dan kelima kontrak membabitkan syarikat Bumiputera.
Hasil siasatan yang dibuatnya menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beliau mendapati syarikat ini tidak menunjukkan sebarang rekod, sebaliknya beliau menemukan syarikat Samling Ecovast Sdn Bhd iaitu syarikat usahasama antara Samling Resources Bhd dan Ekovest Berhad.
"Hasilnya juga mendapati bahawa syarikat Samling Resources ini bukanlah satu syarikat Bumiputera," katanya dalam sidang media.
Beliau juga mendakwa bahawa pada minggu lalu, sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, iaitu Kimloon Corporation Bhd telah mengumumkan bahawa anak syarikatnya telah diberi kontrak bernilai RM780 juta oleh Samling Resources Bhd untuk membina satu projek, iaitu Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah Bagi Persimpangan Lawas-Long Lopeng.
"Persoalan saya, jika syarikat Samling diberi perolehan oleh kerajaan berjumlah RM1.13 bilion dan kemudian syarikat sama menawarkan pula projek sama kepada Kimlon pada harga RM780 juta. Adakah ini benar dan jika benar, ke mana perginya RM350 juta ini, kerana ia satu jumlah yang cukup besar," katanya.
Beliau berharap Kementerian Kewangan memberikan penjelasan mengenainya kerana ia membabitkan jumlah yang begitu besar dan membabitkan wang rakyat.
Dalam pada itu, Azis berkata berdasarkan rekod projek runding terus 2021, sebanyak 46 projek disenaraikan keseluruhannya.
Projek runding terus itu dilakukan ketika musim darurat, sedangkan pada waktu itu tiada satu projek pun membabitkan Kementerian Kesihatan.
"Yang menariknya daripada 46 projek runding terus, tiada satu pun projek dilaksanakan di Sabah," katanya sambil menegaskan apa yang disuarakannya di Parlimen ada justifikasi menuntut hak kesamarataan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak.
Secara perbandingan, Azis membandingkan projek runding terus diperoleh negeri-negeri lain, antaranya Kelantan, sembilan projek (RM1.63 bilion), Perak tiga projek (RM378 juta) dan Terengganu empat projek (RM548 juta).
Sumber: Berita Harian
Comments