KUALA LUMPUR: Lebih banyak kerja berkaitan projek infrastruktur awam dijangka dianugerahkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), demikian menurut penganalisis.
Antara projek berkenaan termasuk MRT3, Fasa 2 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Lebuhraya Central Spine Road selain pelbagai projek tebatan banjir dan hospital.
Kenanga Research berkata, adalah penting bagi kerajaan untuk mula melancarkan pelaksanaan projek baharu memandangkan kebanyakan projek infrastruktur utama yang sedang berjalan kini sudah berada di penghujungnya termasuk MRT2, LRT3 dan Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo.
Ia berkata, tender untuk tiga pakej sivil di bawah MRT3 akan ditutup pada September 2022 dan pihaknya menjangkakan pemberian kontrak pada awal tahun hadapan.
Katanya, terdapat juga keperluan untuk kerajaan memulakan suntikan fiskal untuk melindungi ekonomi daripada kelembapan luaran.
"Gelombang penganugerahan projek infrastruktur awam baharu lebih berkemungkinan untuk mencapai pasaran selepas PRU-15 berbanding sebelum ini.
"Ini akan termasuk MRT3, Fasa 2 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Lebuhraya Central Spine Road dan pelbagai projek tebatan banjir dan hospital," katanya menerusi satu nota penyelidikan.
Bagi sektor swasta pula, Kenanga Research berkata, terdapat peluang dalam pembinaan kilang dan pusat data semikonduktor baharu di negara ini apabila syarikat multinasional (MNC) mempelbagaikan pangkalan pembuatan mereka secara geografi, jauh dari China untuk mengurangkan risiko.
Ia berkata, berdasarkan maklumat yang dikumpul, kontrak berkenaan dijangka bernilai antara RM1 bilion hingga RM1.5 bilion setiap satu.
Walau bagaimanapun, katanya, perkara yang sama berkemungkinan tidak berlaku bagi segmen pejabat dan kediaman bertingkat tinggi memandangkan lebihan bekalan yang berterusan.
Kenanga Research berkata, kemungkinan projek mega dilaksanakan melalui inisiatif kewangan awam (PFI) atau model pembayaran tertunda memandangkan kekangan fiskal.
Ia berkata, contohnya, kontraktor MRT3 boleh membiayai projek dalam tempoh dua tahun pertama pembinaan, hanya perlu membayar keseluruhan jumlah ansuran bulanan yang sama pada tahun ketiga dan keempat.
"Projek lain yang mungkin akan dijalankan melalui model itu adalah projek tebatan banjir di barat Lembah Klang," katanya.
Sumber: Berita Harian
Комментарии