top of page

Projek Hidroelektrik Nenggiri sedia 2,000 peluang pekerjaan


Pemandangan udara awasan empangan Tanah Projek Hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan sebanyak 2,000 peluang pekerja kepada penduduk tempatan dan juga Orang Asli bagi kerja pembinaan Projek Hidroelektrik Nenggiri yang sudah bermula sejak Mac lalu.


Pengurus Besar TNB (Negeri Kelantan &Terengganu), Mustaphakamal Yaacob, berkata pada masa sama, ia turut memberi peluang kepada kontraktor tempatan untuk terbabit sama dalam projek bernilai RM5 billion itu ketika fasa pembinaan dan juga pasca pembinaan.


"Peluang pekerjaan ini juga tersedia setelah pembinaan selesai dan ketika operasi loji janakuasa seperti penyelenggaraan kawasan, pengawal keselamatan serta kerja-kerja yang memerlukan perkerja mahir dan tidak mahir," katanya kepada pemberita selepas Taklimat


Kepada Media Mengenai Projek Hidroelektrik Nenggiri di Hotel Perdana, di sini, hari ini.


Katanya, projek berkenaan juga dijangka dapat membantu serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan apabila pengurangan banjir dapat diatasi.


"Apabila pengurangan banjir berlaku secara tidak langsung dapat meningkatkan aktiviti ekonomi yang sebelum ini tidak dapat dilakukan contohnya, dalam sektor pertanian dan pembuatan.


"Selain itu, tasik takungan utama yang terbentuk ini juga akan dapat mewujudkan beberapa aktiviti ekonomi tempatan seperti akuakultur, di mana permintaan bagi ikan ternakan akan meningkat.


"Pada masa sama, tasik takungan ini juga akan menjadi daya tarikan untuk aktiviti eko pelancongan dan rekreasi yang dapat menjana pendapatan kepada penduduk sekitar sebagaimana di Tasik Kenyir apabila Orang Asli di sekitar Tasik Kenyir dapat meningkatkan ekonomi dan kehidupan mereka," katanya.


Dalam perkembangan lain, Mustaphakamal berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tiga petempatan Orang Asli iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias membabitkan 257 ketua isi rumah (KIR) dengan bilangan 1,115 keluarga yang terkesan susulan pelaksanaan projek berkenaan.


"Pihak kami akan melakukan penempatan semula kepada perkampungan Orang Asli yang terkesan berdasarkan kepada keperluan perundangan dan persetujuan Orang Asli sendiri.


"Kawasan penempatan baharu ini akan meningkatkan kualiti hidup mereka dalam jangka masa panjang selain mendapat rumah yang lebih selesa serta mempunyai sumber pendapatan yang lebih terjamin melalui kebun getah yang akan dibangunkan khusus untuk mereka," katanya.

Sumber: Berita Harian

5 views

Comments


bottom of page