
KUALA LUMPUR: Projek cari gali minyak membabitkan syarikat Petrosaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ) di Venezuela tidak berlaku sekiranya tidak `dibantu’ dengan wang berjumlah AS$185 juta yang diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
`Bantuan’ kewangan itu pula tidak akan berlaku tanpa kelulusan daripada Pengarah PetroSaudi International Ltd. (PSI), Tarek Obaid yang mengawal kesemua akaun tersebut yang juga penandatangan sah akaun terbabit.
PSOS-VZ adalah anak syarikat kepada PSI.
Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun berkata, wang AS185 juta itu adalah sebahagian daripada dana AS1 bilion yang sepatutnya digunakan dalam projek usahasama 1MDB-PSI.
“Sebahagian daripada wang AS$185 juta itu telah digunakan untuk membeli kapal gerudi bagi projek cari gali minyak dengan kerajaan Venezuela.
“Kami menghujahkan bahawa wang yang dipertikai perlu ditahan dan disita daripada terus digunakan. Berdasarkan carta aliran wang, kami telah menunjukkan bagaimana wang tersebut dipindahkan sebelum `dimasukkan’ dalam kontrak cari gali minyak,”katanya.
Perkara tersebut dimaklumkan Norinna ketika berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dalam permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan perintah penuh pembekuan berjumlah melebihi AS$340 juta milik PSI yang dikaitkan dengan dana yang diselewengkan daripada 1MDB.
Pada 16 Julai 2021, Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah interim untuk menyekat PSI, Obaid dan PSOS-VZ untuk memindahkan wang tersebut kepada entiti lain.
Bagaimanapun, perintah interim tersebut tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya selepas National Crime Agency (NCA) yang berpengkalan di London berdepan dengan kesukaran tentang cara pelaksanaannya.
Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Ogos 2021 bagaimanapun membenarkan permohonan PSOS-VZ untuk menggunakan AS$1.357 juta bagi bayaran perbelanjaan perniagaan dan yuran guaman.
Wang AS$340,258,246.87 juta kini tersimpan dalam akaun bank perantara atas nama Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, United Kingdom dan tidak digunakan.
Dalam permohonan yang difailkan pada 10 Julai lalu, kerajaan memohon perintah bagi menyekat sebarang urusan kewangan, berjumlah US$340 juta milik PSI dan anak syarikatnya, PSOS-VZ yang dipegang oleh Clyde & Co. LLP.
Kerajaan juga memohon sekatan sama bagi sejumlah wang yang tidak dinyatakan nilainya dan disimpan di Barclays Bank di bawah penama ‘Temple Fiduciary Services’.
Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) dan menamakan Obaid, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co. dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.
Pendengaran berhubung permohonan sitaan itu yang didengar oleh Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh bersambung esok.
Sumber: Utusan
Comments