top of page

Prestasi kewangan Sapura Energy semakin pulih


Prestasi kewangan Sapura Energy semakin pulih Berita Harian www.bharian.com.my
Sapura Energy Bhd

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM2.59 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022 daripada RM1.52 bilion setahun lalu.


Syarikat perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu berkata, pemulihan adalah disebabkan oleh peruntukan lebih rendah bagi kerugian boleh dijangka, kos projek ditanggung lebih rendah, kerygian saham syarikat sekutu dan usaha lebih rendah serta keuntungan tukaran mata wang asing semasa suku dikaji.


Mengenai kerugian dicatatkan pada suku itu, Sapura Energy berkata, ini terutamanya disebabkan oleh susut nilai dan hapus kira yang diiktiraf oleh kerjasama penerokaan dan pengeluaran strategik, SapuraOMV Upstream.


Sementara itu, pendapatan meningkat 57 peratus kepada RM1.17 bilion daripada RM747.12 juta sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


"Pendapatan lebih tinggi terutamanya disumbangkan oleh hasil lebih tinggi diiktiraf daripada semua segmen perniagaan menerusi peratusan lebih tinggi projek disiapkan dan penggunaan lebih tinggi pelantar dalam suku kewangan semasa.


"Di sebalik cabaran itu, semua segmen perniagaan mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) positif, dengan kejuruteraan dan pembinaan sebanyak RM38 juta; operasi dan penyelenggaraan sebanyak RM47 juta; dan penggerudian sebanyak RM150 juta," kata syarikat itu.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Anuar Taib, berkata Sapura Energy bersemangat dengan prestasi kewangan pada suku ini, kerana ia menunjukkan hasil awal dalam Pelan Penyusunan Semula dan syarikat berada dalam pemulihan.


"Secara jelasnya, pencetus perubahan dalam pertumbuhan masa depan kami adalah pengurangan hutang kurang mampan, yang sedang diusahakan dengan bersungguh-sungguh untuk diselesaikan bersama semua pihak berkepentingan," katanya.


Dimulakan pada Disember 2021, Pelan Penyusunan Semula kumpulan menyasar untuk mewujudkan kemampanan jangka panjang dengan membina semula lembaran imbangan kumpulan, menambah baik operasi dan rangkan kerja pengurusan risiko serta mencarta hala tuju masa depan perniagaan.


Di bawah Pelan Penyusunan Semula, segmen perniagaan kumpulan memfokuskan semula bidaan berdasarkan keupayaan dan selera risiko, sambil menambah baik disiplin pengurusan projek.


Sapura Energy berkata, ia kini sedang melaksanakan hampir 90 projek di seluruh dunia, sembilan daripadanya bermula pada suku kedua tahun kewangan 2023.


Ia telah menyiapkan 18 projek pada suku sama.


Nilai kontrak dalam tangan syarikat berjumlah RM7.7 bilion setakat ini.


Sementara itu, bagi tempoh kewangan enam bulan, Sapura Energy mencatatkan keuntungan bersih RM89.34 juta berbanding kerugian bersih RM1.61 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan susut 7.2 peratus kepada RM2.06 bilion daripada RM2.22 bilion.


Sumber: Berita Harian


11 views

Comments


bottom of page