top of page

Plat perancah besi jatuh, 7 kenderaan rosak


Antara kereta yang rosak ditimpa plat perancah yang jatuh, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

KUALA LUMPUR: Tujuh buah kereta rosak selepas ditimpa plat perancah besi yang jatuh ketika sedang diangkat menggunakan kren di tapak projek pembinaan bangunan di Jalan Ikan Emas, Cheras di sini, pagi tadi.


Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima laporan kejadian pada jam 9.53 pagi dan menggerakkan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu ke lokasi.


Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hasmahwi Abd Wahab, berkata pemeriksaan di lokasi mendapati tujuh buah kenderaan yang diletakkan bersebelahan tapak projek itu rosak akibat dihempap plat perancah besi yang jatuh.


"Plat perancah besi itu terjatuh ketika kerja mengangkat sedang dilakukan menggunakan sebuah kren yang berada di atas bangunan dalam pembinaan itu.


"Tujuh kereta yang rosak terdiri daripada dua PROTON Saga dan masing-masing sebuah PROTON Wira, PROTON Iriz, Toyota Pajero, PERODUA Myvi dan Honda City," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Bagaimanapun katanya, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.


Difahamkan, tapak projek itu menjalankan pembinaan beberapa blok bangunan kediaman berketinggian lebih 50 tingkat serta bangunan komersial.


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page