top of page

Pinggir bandar, luar bandar dapat kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi - Saifuddin



KUALA LUMPUR: Kerajaan telah melaksanakan projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) di seluruh negara yang menyediakan kemudahan berkelajuan tinggi bagi perkhidmatan talian tetap di kawasan terbabit.


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata sehingga kini kira-kira 639,676 sambungan telah tersedia, manakala lebih 34,781 sambungan masih dalam pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat tahun ini.


"Daripada jumlah tersebut, lebih 48,450 sambungan telah siap di Sabah dan lebih 31,741 sambungan di Sarawak, manakala terdapat 924 sambungan di Sabah dan 4,236 sambungan di Sarawak masih dalam peringkat pelaksanaan," katanya.


Beliau menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.



Saifuddin juga berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan kajian yang lebih terperinci berkaitan kualiti perkhidmatan di kawasan yang dinyatakan.


Pengujian rangkaian akan dilaksanakan oleh pihak pemberi perkhidmatan dalam masa terdekat untuk mengenal pasti kawasan yang bermasalah sebelum tindakan susulan dapat diambil bagi menambah baik liputan dan kualiti perkhidmatan di kawasan berkenaan, katanya.


Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin ketika menggulung bagi kementeriannya, berkata Sabah menjadi negeri kedua terbanyak dengan pembinaan rumah mampu milik.


Beliau berkata terdapat 39 projek Program Perumahan Rakyat (PPR), 2,656 unit program perumahan penjawat awam, 1,833 skim perumahan mampu milik, 8,963 unit perumahan PR1MA dan 12,870 unit program perumahan di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad serta 1,480 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR).


"Jadi, dengan ini kita melihat kerajaan pusat tidak meminggirkan pembinaan perumahan mampu milik untuk rakyat Sabah terutamanya golongan berpendapatan rendah dan ada pelaksanaan MyHome (Skim Perumahan Mampu Milik Swasta) di Sabah, program-program ini juga dilaksanakan di negeri Sabah," katanya.


Sementara itu, Zuraida berkata kementeriannya juga akan melihat kemungkinan menggubal satu dasar rumah panjang memandangkan 52 peratus penduduk Sarawak menetap di rumah panjang.


"Jadi ada keperluan untuk buat satu dasar, kita akan cuba laksanakan ini. Jawatankuasa itu (untuk dasar tersebut) belum lagi dibentuk tapi baru bermula di peringkat Jabatan Perumahan," katanya ketika menjawab celahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang bertanyakan tentang program pembinaan rumah panjang.


-- BERNAMA


Sumber: Astro Awani


9 views
bottom of page