PETRONAS muncul antara pembekal LNG terbesar


PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: PETRONAS kini menjadi antara pembekal gas asli cecair (LNG) terbesar kepada beberapa negara ekonomi utama dunia apabila mengukuhkan penguasaan pasarannya secara ketara di negara terbabit.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata penguasaan pasaran LNG kumpulan tahun ini semakin ketara dengan menyaksikan kehadiran di Jepun sebanyak 11 peratus, China sekitar 11 peratus, Taiwan kira-kira 13 peratus, dan Korea Selatan sembilan peratus.


Pada masa depan, katanya, gas akan memainkan peranan lebih besar dalam memenuhi permintaan kepada kepelbagaian tenaga dunia bahkan dijangka akan memberikan sumbangan yang lebih besar berbanding minyak.


"Minyak dan gas (O&G) menyumbangkan 50 peratus daripada keseluruhan kepelbagaian tenaga dunia, namun jika dilihat dari segi kuantiti secara keseluruhan, dunia akan memerlukan lebih banyak gas daripada yang kita lihat hari ini berbanding tenaga lain.


"PETRONAS kini sangat kukuh dalam gas bahkan kami memacu ke arah gas berdasarkan portfolio rizab kumpulan kini menyaksikan 70 peratus daripadanya adalah gas.


"Namun, sejak beberapa tahun lalu, kami bimbang tidak banyak Keputusan Pelaburan Akhir (FID) dalam projek LNG dilakukan oleh peserta pasaran khususnya bagi projek mega yang memerlukan tempoh pelaksanaan panjang," katanya di sini, tadi.


Beliau berkata demikian pada sesi utama Dialog CEO Strategik di Persidangan Minyak dan Gas Asia (AOGC) Ke-20 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.


Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan peserta industri meninggalkan projek mega jangka panjang dan hanya menumpukan projek untuk memenuhi permintaan jangka pendek akan memberikan impikasi kepada industri untuk tempoh beberapa tahun akan datang.


Katanya, kerana itu, PETRONAS bersama beberapa rakan niaga di peringkat antarabangsa memeterai beberapa FID yang memberikan impak positif dalam bidang LNG termasuk pelaburannya di Kanada.


"Itu adalah pelaburan kami yang terbesar dalam LNG, dan kini kami memiliki pembekalan LNG di Malaysia, Mesir dan pada masa depan daripada Kanada yang mana semua ini akan memberikan tambahan kepada pembekalan kumpulan di Australia dan menjana pendapatan besar," katanya.


Sementara itu, beliau berkata, PETRONAS akan lebih berhati-hati mengatur strategi pelaburan dan penerokaan pasaran produknya bagi mengurangkan pendedahan kumpulan kepada implikasi perang dagangan China-Amerika Syarikat (AS).


Katanya, berdasarkan jangkaan, kira-kira AS$600 bilion akan hilang daripada ekonomi dunia sekiranya perang dagangan ini berterusan pada skala penuh.


"Ini antara perkara yang merunsingkan kami, namun saya rasa Petronas perlu memfokuskan perniagaan serantau dan mengurangkan pendedahan kami kepada risiko perang dagangan," katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.