top of page

PETRONAS akan terus kawal perbelanjaan, kos


Syarikat petroleum nasional, PETRONAS - Foto Bloomberg

KUALA LUMPUR: PETRONAS dijangka mengekalkan perbelanjaan dan kos secara berhemah berikutan komitmennya untuk meningkatkan dividen dan kemajuan ke arah tenaga boleh diperbaharui.


Penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd, Steven Chan, berkata berdasarkan jangkaan itu, pemulihan aktiviti dan perniagaan dalam kalangan kontraktor tempatan mungkin perlahan.


"Secara realistik, kami menjangkakan tahap aktiviti tidak akan kembali ke tahap pra-pandemik sebelum 2023," katanya dalam nota penyelidikan.


Chan berkata, bagi memastikan pertumbuhan kekal mampan, ia percaya peserta industri di negara ini perlu meningkatkan keupayaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.


Katanya, peserta industri minyak dan gas juga perlu mengembangkan perkhidmatan kepada sektor tenaga lain bagi meningkatkan keupayaan portfolionya pada masa depan.


"Kami mengekalkan saranan 'Neutral' dengan mengambil kira pemulihan secara beransur-ansur memandangkan asas sektor ini sebahagian besarnya lemah dengan prospek harga minyak mentah jangka panjang AS$55 hingga AS$60 setong," katanya.


PETRONAS kembali meraih keuntungan selepas cukai pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berjumlah RM9.6 bilion, berbanding kerugian selepas cukai RM21 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.


Prestasi lebih baik yang dicatatkan syarikat petroleum nasional itu adalah berikutan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM57.1 bilion, melonjak 68 peratus berbanding RM34 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2020.


Keputusan kewangan positif PETRONAS disokong harga purata direalisasi yang menguntungkan bagi produk utama dan jualan lebih tinggi dipacu kebanyakan jualan gas dan gas asli cecair (LNG).


Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, keuntungan selepas cukai PETRONAS meningkat 100 peratus kepada RM18.9 bilion berbanding kerugian selepas cukai RM16.5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun lalu disokong EBITDA lebih tinggi dan kerugian rosot nilai yang rendah berikutan kenaikan harga.


Dari aspek perolehan, PETRONAS meraih pendapatan RM109.6 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun ini, melonjak 17 peratus berbanding RM93.6 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.


Berdasarkan peningkatan prestasi kewangan, PETRONAS bersetuju membayar dividen tambahan RM7 bilion kepada kerajaan menjadikan keseluruhan berjumlah RM25 bilion tahun ini.


Ia adalah tambahan kepada RM18 bilion seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada November tahun lalu.


Sumber: Berita Harian

 
 
 

Kommentare


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page