top of page

Peruntukan RM392 bilion diperlukan atas masalah banjir


Peruntukan RM392 bilion diperlukan atas masalah banjir Harian Metro www.hmetro.com.my
Foto Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menganggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM392 bilion sebagai langkah jangka panjang mengatasi masalah banjir di negara ini hingga 2100.


Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kesungguhan kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim ditunjukkan melalui pelaburan besar kepada sektor air negara.


Beliau berkata, ia termasuk peruntukan RM15 bilion secara 'off budget' untuk tempoh lapan tahun bermula 2023 hingga 2030 bagi projek tebatan dan penyelesaian banjir serta pembinaan struktur sabo di kawasan kritikal yang terjejas teruk akibat Monsun Timur Laut.


"Untuk langkah jangka masa panjang hingga 2100, KASA menganggarkan peruntukan sebanyak RM392 bilion diperlukan bagi mengatasi masalah banjir di Malaysia.


"Anggaran kos ini antara lain merangkumi komponen utama tebatan banjir dan saliran bandar sebanyak RM230.71 bilion serta infrastruktur pantai RM126.55 bilion," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Perubahan Iklim 2022 anjuran Pejabat Ketua Pembangkang dengan kerjasama Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Parlimen, di sini, hari ini.


Tuan Ibrahim berkata, KASA komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat melalui langkah jangka sederhana dan panjang termasuk pembangunan infrastruktur perlindungan khususnya bagi bencana berkaitan air.


Di samping itu, menurutnya faktor perubahan iklim turut diambil kira dalam penyediaan reka bentuk pembangunan bagi memastikan infrastruktur air yang dibangunkan berdaya tahan terhadap kesan fenomena perubahan iklim.


"Kementerian juga sedang merangka pelaksanaan adaptasi perubahan iklim. Peningkatan suhu global akan meningkatkan lagi risiko bencana dan kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi.


"Dalam hal ini, kerajaan membangunkan Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040 bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-12 hingga ke Rancangan Malaysia Ke-15," katanya.


Beliau berkata, agenda itu turut memberi fokus kepada usaha pengukuhan tadbir urus sektor termasuklah mengarusperdanakan adaptasi dalam pengurusan risiko banjir dengan mengambil kira integrasi pengurusan risiko bencana melalui mitigasi jangka panjang dan pendek pengurusan banjir.


Selain itu, Tuan Ibrahim berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju mengetuai delegasi negara ke Sidang Kemuncak Ketua Negara dan Kerajaan pada 6 November depan di Persidangan ke-27 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP27-UNFCCC) di Sharm El Sheikh, Mesir.


Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dalam ucapan pembukaannya berkata, masalah banjir yang sering dikaitkan dengan perubahan iklim memerlukan setiap Ahli Parlimen memainkan peranan dalam membina kesedaran terhadap krisis iklim di kawasan masing-masing.


Katanya, Ahli-Ahli Parlimen boleh memainkan peranan dengan membabitkan diri dan aktif dalam pertubuhan masyarakat sivil antaranya berkaitan dengan perubahan iklim, pembangunan mampan, bantuan kemanusiaan dan bencana termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan belia.


"Penglibatan Ahli Parlimen dalam masyarakat sivil ini mampu menyumbang pengalaman dan bimbingan dalam memberi bantuan kepada masyarakat setempat yang terjejas akibat bencana," katanya.


Sumber: Harian Metro


7 views

Comments


bottom of page