Perundangan baharu pembangunan semula bandar - Khalid


KUALA LUMPUR: Perundangan khusus bagi pelaksanaan pembaharuan semula bandar supaya ia lebih berdaya laksana dan berkesan akan digubal.


Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, yang mengutarakan hasrat itu berkata usaha membangunkan semula bandar ketika ini hanya berlandaskan peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.


“Kementerian melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) menjalankan satu kajian iaitu Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar.


“Panduan pelaksanaan ini disediakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada menerusi Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), merangkumi empat kategori iaitu pembangunan semula bandar, pemulihan bandar, pemeliharaan bandar dan penyegaran bandar.


“Pembaharuan semula bandar ditafsirkan sebagai suatu program menyeluruh dan bersepadu untuk jangka panjang bagi menangani isu kemelesetan ekonomi, keusangan fizikal, terbengkalai, usang, kawasan ‘brownfield’ (zon pernah dibangunkan tetapi diabaikan) dan tidak ekonomik,” katanya pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang baharu berhubung pembangunan semula bangunan lama oleh pihak swasta, seperti dilaksanakan Hong Kong dan Singapura.


Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN-Putrajaya) mengenai pemberian rumah percuma kepada penduduk asal sesebuah kawasan tanpa menggunakan peruntukan kerajaan menerusi pelaksanaan subsidi silang, Khalid berkata, dasar sedemikian akan tetap diteruskan.


“Namun, ia akan dilakukan secara lebih telus dan tidak terlalu menguntungkan pemaju. Kita dapati walaupun konsepnya baik, dalam banyak pelaksanaannya menimbulkan persoalan kerana didapati terlalu banyak menguntungkan pemaju,” katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.