Perlu wujudkan SOP turapan sementara



BARU-BARU ini, media melaporkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin cede­ra ringan selepas terjatuh dari basikal akibat terlanggar jalan berlubang di Kuala Langat, Se­langor.


Kejadian tersebut menyebabkan Ahli Parlimen Rembau itu mengalami kecederaan kecil di dahi dan hidung, namun tidak memberi implikasi serius.


Rentetan itu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat dengan pantas memohon maaf dan mendoakan agar Khairy cepat sembuh.


JKR Kuala Langat menerusi Twitter menegaskan akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan. Maknanya JKR Kuala Langat akan dengan segera membaik pulih lubang jalan Khairy terjatuh.


Di alam siber, netizen mempersoalkan permohonan maaf dan tindakan JKR berkenaan sekiranya kejadian sedemikian berlaku ke atas rakyat biasa.


Rata-rata daripada netizen menyatakan rasa kesal kerana setiap kali mereka membuat ­aduan kepada pihak JKR me­ngenai kerosakan jalan raya, tiada sebarang tindakan diambil.


Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi berkata, setiap aduan kerosakan jalan seharusnya diambil tindakan oleh JKR atau pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh 24 jam.


Katanya, pihak berkuasa harus mengarahkan pihak konsesi yang dilantik supaya segera melakukan kerja-kerja tampalan sementara atau pothole bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.


“Pothole ini penting bagi memastikan jalan dapat digunakan dengan selesa sekali gus mengurang risiko kerosakan kenderaan atau kemalangan.


“Pothole ini hanya bersifat sementara sebelum kerja-kerja turapan menyeluruh dilaksanakan selepas dana diperoleh dan kontraktor dilantik,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.


Azlan Sani memaklumkan, kebanyakan kerja-kerja pothole yang dilakukan di negara ini tidak bertahan lama, menyebabkan jalan raya kerap kali berlubang semula.


Tegasnya, situasi ini berlaku disebabkan negara tidak mempunyai satu prosedur operasi standard (SOP) mengenai kerja-kerja pothole sejak dahulu lagi.


“Ada pihak konsesi yang dilantik oleh pihak JKR dan PBT melakukan kerja-kerja pothole secara ala kadar sahaja.


“Saya dapati ada kerja pothole dilakukan ketika waktu hujan. Malah, ada konsesi mengunakan bahan turapan sementara berkualiti rendah sehingga menyebabkan ia mudah pecah apabila kenderaan berat melepa­sinya,” jelas Azlan.


Beliau memaklumkan, negara perlu mencontohi negara maju seperti Australia yang mempunyai SOP khas pothole dan menggunakan bahan turapan sementara menyamai kualiti tar turapan kekal.


Sementara itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Tyhe berkata, pihak konsesi yang diberikan amanah kerja-kerja pothole atau turapan kekal perlu dipilih secara telus.


Jelasnya, ia bagi mengelakkan masalah konsesi menggunakan bahan kualiti rendah apabila diberi tanggungjawab untuk menurap jalan oleh pihak berkuasa.


“Saya juga mencadangkan supaya pihak berkuasa mewujudkan pasukan yang melakukan rondaan di setiap kawasan bagi mengenal pasti lokasi jalan berlubang.


“Kita tidak boleh lagi memandang enteng terhadap isu jalan berlubang ini. Meskipun ia telah berlaku sejak sekian lama, namun tiada ada keazaman pihak berkuasa mengatasi masalah ini,” tegasnya.


Sumber: Kosmo!

2 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.