top of page

Perkukuh jati diri mahasiswa elak terjebak rasuah di alam pekerjaan


Perkukuh jati diri mahasiswa elak terjebak rasuah di alam pekerjaan Berita Harian www.bharian.com.my
Pupuk kesedaran lebih mendalam kepada mahasiswa mengenai kesan rasuah bagi melahirkan generasi muda bebas amalan negatif. - Foto hiasan

KAJIAN dilakukan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 2017 mendapati 35.8 peratus daripada 402 responden dalam kalangan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) menyatakan tidak menjadi satu kesalahan jika menerima hadiah berbentuk wang atau barangan atau perkhidmatan sebagai balasan bagi sesuatu perbuatan.


Selanjutnya, kajian mendapati seramai 275 belia termasuk dalam kalangan pelajar IPT dan kakitangan awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2020 kerana terbabit rasuah.


Daripada jumlah itu, seramai 21 belia berusia antara 18 hingga 23 tahun, manakala 254 lagi berusia antara 24 sehingga 30 tahun. Lebih membimbangkan, 70 daripada keseluruhan belia ditahan ini memberi rasuah, seramai 123 orang menerima rasuah dan selebihnya kesalahan rasuah lain. Antara belia berkenaan adalah bekas pelajar IPT.


Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2021 mengenai tingkah laku mahasiswa terhadap rasuah mendapati, 14.3 peratus daripada 2,254 responden kalangan pelajar IPT awam dan swasta mengaku pernah ditawarkan rasuah. Daripada jumlah itu, 2.5 peratus atau 56 responden mengambilnya.


Evolusi rasuah pada peringkat universiti sangat membimbangkan kerana jenayah itu ketika ini tidak lagi hadir dalam bentuk wang ringgit. Rasuah hadir dalam pelbagai bentuk secara fizikal dan material, menjadi punca mahasiswa dilihat antara golongan terawal berisiko terjebak dalam jenayah itu.


Perkara ini harus dicegah pada peringkat awal kerana golongan belia merangkumi pelajar sekolah dan IPT adalah kumpulan terbesar daripada jumlah penduduk Malaysia.


Justeru, mahasiswa perlu didedahkan kepada mesej antirasuah serta diberi kesedaran mengenai kesan buruknya terhadap pembinaan sesebuah negara seawal mungkin.


Antara langkah itu adalah memperbanyakkan aktiviti bersifat mendidik dalam usaha menghasilkan generasi muda lebih berwawasan. Usaha membanteras gejala rasuah memerlukan aktiviti lebih berfokus serta berkesan supaya mahasiswa lebih peka dengan kesan rasuah, bukan sahaja menjejaskan diri mereka tetapi juga negara.


Lantaran itu, budaya menjaga integriti perlu dilahirkan dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat Malaysia, bermula dari bangku sekolah dan terus ditanam serta diperkasakan ketika di menara gading.


Di IPT, usaha membanteras jenayah rasuah tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata, kerana ia tanggungjawab bersama.


Peranan itu boleh digerakkan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR). AMAR sebelum ini dikenali sebagai Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) yang ditubuhkan pada 2007.


SPR ditubuhkan susulan Kajian Persepsi Awam Terhadap Rasuah 2002 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), antaranya 15 peratus daripada 494 pelajar menyatakan kesanggupan memberi rasuah untuk melicinkan urusan harian atau menyelesaikan sesuatu urusan dan 30 peratus lagi menyatakan sekiranya mempunyai kuasa, mereka sanggup menerima rasuah jika berpeluang.


Tingkat kesedaran antirasuah di kampus

AMAR mempunyai tanggungjawab sebagai rakan strategik SPRM dalam menyampai dan menyebar luas mesej antirasuah kepada mahasiswa di negara ini.


Sebagai sebuah badan sukarela, AMAR platform penting untuk pelajar menggerakkan aktiviti pendidikan antirasuah di dalam kampus. Namun, pelaksanaan program pencegahan rasuah harus dilaksanakan dengan strategi berkesan supaya visi AMAR mewujudkan generasi muda membenci jenayah itu dapat direalisasikan.


Ini selaras dengan misi AMAR iaitu menerajui usaha pembudayaan nilai murni, pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pelajar IPT.


Hakikatnya, ini bukan satu tugas mudah apatah lagi untuk menyampaikan mesej antirasuah kepada lebih sejuta pelajar di IPT awam dan swasta, politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara.


Umumnya, kesedaran mahasiswa mengenai bahaya rasuah memang ada, tetapi kerana ekosistem rasuah berakar umbi menyebabkan kebanyakan mereka apabila masuk ke pasaran kerja mudah terjebak.


Maka, melalui bimbingan serta kerjasama SPRM, AMAR boleh merangka, melaksanakan dan menyebar luas inisiatif pendidikan antirasuah berbentuk tidak formal kalangan rakan sebaya di IPT.


Ini akan memudahkan lagi pemahaman pelajar berkaitan isu rasuah, khususnya kesan negatif yang timbul hasil perbuatan itu, selaras dengan keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah yang memutuskan supaya Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) diwajibkan di semua IPT bermula tahun hadapan.


Ketika ini, 19 IPTA termasuk tujuh IPTS menawarkan kursus itu kepada pelajar sebagai kursus elektif. Antara program dirancang adalah membawa bekas pesalah berkaitan rasuah ke IPT sebagai antara modul pendidikan antirasuah dalam kalangan penuntut.


Individu berkenaan akan berkongsi pengalaman mereka menjadi pesalah rasuah kepada penuntut untuk menceritakan kesusahan, trauma dan rasa kehilangan ahli keluarga akibat jenayah kolar putih dilakukan mereka.


Membentuk pelajar berintegriti perlu bermula daripada peringkat awal persekolahan lagi dan diperkukuh sehingga berupaya menjadi jati diri semasa di universiti kerana kepemimpinan masa depan negara terletak di bahu golongan ini.


Hal ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua IPT di negara ini menerapkan elemen kejujuran, amanah serta integriti ke dalam setiap jiwa mahasiswa.


Penulis adalah Ketua Laboratori Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM)


Sumber: Berita Harian

3 views

Comments


bottom of page