top of page

Perbelanjaan awam dipercepat menjelang PRU-15


Lebuhraya Pan Borneo menjadi antara projek yang dilaksanakan di bawah RMK-12 - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mempercepatkan pelaksanaan perbelanjaan awam tahun depan menjelang Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15), demikian menurut Affin Hwang Capital.


Firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini berkata, jangkaan berkenaan berikutan peningkatan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak 54 peratus kepada RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19.


Menurut Affin Hwang Capital, perbelanjaan pembangunan itu bakal memberi manfaat kepada kontraktor dengan pemodalan kecil dan sederhana.


"RM400 bilion adalah 61 peratus lebih tinggi daripada RM248.5 bilion yang dibelanjakan untuk RMK-11 bagi tempoh 2016-2020," katanya.


Firma penyelidikan itu menambah, perkembangan laporan mengenai pemulihan projek infrastruktur mega turut akan mendorong minat kontraktor besar dalam tempoh 12 bulan akan datang.


Katanya, projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan Lebuhraya Pan Borneo menjadi antara projek yang dilaksanakan di bawah RMK-12.


"Kami menjangkakan perbelanjaan pembangunan projek berkenaan akan memberi manfaat kepada kontraktor bermodal kecil dan sederhana. Antara penerima manfaat berpotensi adalah Gabungan AQRS Bhd and WCT Holdings Bhd," katanya.


Firma itu menjelaskan, kerajaan dijangka menubuhkan dana bantuan khusus bagi projek infrastruktur di bawah model Kerjasama Awam Swasta (PPP) 3.0.


"Pelaksanaan projek di bawah model baharu itu akan menggunakan kaedah Permohonan Cadangan (RFP) dan tidak akan membabitkan komitmen kewangan kerajaan," katanya.


Pelaksanaan projek berkaitan dijangka diumumkan pada pertengahan tahun depan, kata Affin Hwang Capital.


Menurut nota penyelidikan itu, model PPP 3.0 akan menyediakan peluang berpotensi kepada syarikat infrastruktur dan pembinaan dengan imbangan kira-kira serta memiliki rekod prestasi pelaksanaan yang kukuh untuk mendapatkan projek infrastruktur PPP.


"Syarikat yang terbabit termasuklah Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd, Taliworks Corp Bhd, YTL Corp Bhd, Westports Holdings Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd," katanya.


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page