SHAH ALAM: Seorang penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan rasuah berjumlah RM10,000 berkaitan kerja membaikpulih sebuah sekolah di Cheras, Selangor pada Mei lalu.
Tertuduh, Zabidi Zahari, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan, Zabidi iaitu Penolong Jurutera yang bertugas di Bahagian Bangunan didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM10,000 daripada seorang individu.
Wang berkenaan adalah sebagai dorongan untuk melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memperaku siap kerja bagi kerja-kerja pembaikan dan baik pulih serta lain-lain kerja berkaitan di sebuah sekolah di Cheras Perdana, Selangor yang bernilai RM354,051.
Justeru tertuduh melakukan suatu kesalahan mengikut seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Sekyen 24(1) Akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Zabidi didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Bangi pada 17 Mei lalu.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Baharudin Ahmad Kassim.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri kepada pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Januari 2023.
Sumber: Berita Harian
Comments