top of page

Pengurus projek syarikat binaan dikompaun RM50,000



IPOH - Seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan di Kamunting, Taiping dikenakan kompaun RM50,000 kerana gagal mengadakan pelan mengangkat (lifting plan) dalam pengendalian kren bergerak.


Kompaun dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak itu hasil pemeriksaan mengejut dalam Operasi Tapak Bina pada 31 Mac lepas.


Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, syarikat kontraktor binaan terbabit didapati sedang menjalankan kerja pembinaan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kamunting.


Menurutnya, pemeriksaan mendapati pengurus projek syarikat tersebut gagal mengadakan pelan mengangkat sebelum pengoperasian, pengendalian dan penyelenggaraan kren bergerak.


"Satu kertas siasatan telah dibuka atas kesalahan itu dan tindakan kompaun RM50,000 kemudiannya dikeluarkan mengikut Perintah 2(e), Perintah Khas Ketua Pemeriksa Bilangan 2 Tahun 2020, Pengurusan dan Pengendalian Selamat Kren Bergerak," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.


Beliau menggesa semua syarikat terlibat pembinaan supaya sentiasa mematuhi akta-akta dan perintah khas ketua pemeriksa yang dikuatkuasakan oleh JKKP iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.


Katanya, turut perlu dipatuhi Perintah Khas Ketua Pemeriksa Bilangan 2 Tahun 2020 Pengurusan dan Pengendalian Selamat Kren Bergerak, Perintah Khas Ketua Pemeriksa Bilangan 1 Tahun 2020 Pengurusan Keselamatan Struktur Sementara (Perancah, Acuan dan Penyangga) dan Perintah Khas Ketua Pemeriksa Kepada Pengurus Projek Berkenaan Pengurusan dan Pengendalian Selamat Kren Menara 2017.


"Kegagalan atau sebarang pelanggaran perintah khas ketua pemeriksa itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.


"Kita akan terus mempertingkatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di tapak binaan bagi mengelak berlakunya insiden kemalangan yang boleh membahayakan pekerja," katanya.


Sumber: Sinar Harian

1,095 views

Commentaires


bottom of page