top of page

Penduduk terpaksa guna jejantas rosak, terbiar


KEADAAN jejantas yang uzur dan berbahaya namun terpaksa dilalui pengguna untuk melintas jalan dengan selamat di Kapar, Klang, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED

KLANG: Penduduk di Kapar menggesa pihak berwajib membaik pulih dan menyelenggara jejantas dekat kawasan pekan, yang rosak sejak lebih 17 tahun lalu dan membahayakan keselamatan pengguna.


Malah keadaannnya yang sudah uzur itu pernah menyebabkan kerosakan kepada kenderaan berada berhapiran apabila dihempap bumbung jejantas yang tercabut.


Selain itu, jejantas berkenaan didakwa kotor dan busuk kerana menjadi ‘port’ untuk tidur serta membuang air kecil serta ‘dihuni’ gelandangan sebelum ini.


Peniaga, Mohd. Zaini Yusof, 57, masalah itu berlarutan sejak dia mula menjual pakaian terpakai di kawasan berkenaan pada 2006.


“Keadaan itu menyebabkan orang ramai kurang menggunakan jejantas dan lebih sanggup melintas jalan. Jejantas itu bukan saja kotor malah tidak diselenggara dengan baik sekali gus menjadi seperti projek ‘gajah putih’,” katanya ketika ditemui di lokasi itu hari ini.


Bagi penduduk, V. Poopandian, 63, bumbung jejantas itu sering kali tercabut terutama selepas dipukul ribut dan angin kencang.


“Lebih menakutkan apabila bumbung itu turut menghempap kenderaan di bawah laluan berkenaan termasuk kejadian terbaru tiga hari lalu. Ia sekaligus membahayakan keselamatan bukan saja pengguna jejantas itu malah pemandu lain,” ujarnya yang menetap di pekan itu lebih 60 tahun.


Justeru, pesara itu meminta pihak bertanggungjawab memandang serius perkara berkenaan sama ada mahu merobohkan atau menyelenggaranya sebaik mungkin.


Sementara itu, pengguna, Mat Ros Mohamad, 66, berkata dia menggunakan jejantas berkenaan untuk membeli barang di deretan kedai pekan tersebut.


“Memang diakui keadaan kemudahan itu agak terbiar dan perlu ditambah baik demi keselesaan orang ramai. Saya juga bimbang menggunakannya namun terpaksa kerana cuaca panas dan tidak mahu melintas jalan utama,” kata datuk kepada lapan cucu itu.


Sumber: Utusan

Comentarios


bottom of page