
Kuala Lumpur: "Kami berharap tempoh dua minggu yang diberikan itu akan membawa khabar melegakan kepada semua penduduk," kata Mohd Zoolkefli Hanafiah, 60, yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kencana, Ampang, Selangor.
Mohd Zoolkefli memberi reaksi itu susulan kerajaan Selangor memberi tempoh dua minggu kepada Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk membentangkan perincian berhubung rancangan pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) 3 di taman berkenaan.
Katanya, mereka tidak membantah sebarang pembangunan sebaliknya berharap ia perlu lebih seimbang dan tidak mendatangkan masalah lain kepada penduduk setempat.
Menurutnya, sekiranya projek tetap dilaksanakan, pihak berkenaan mestilah membuat lencongan atau jajaran lain yang tidak membabitkan rumah penduduk.
"Kami mengharapkan kerjasama pihak berkenaan dan utamakanlah rakyat dahulu.
"Kawasan perumahan ini sudah wujud sejak 35 tahun lalu dan kalau cari rumah lain, sekarang sudah tidak ada harga (seperti mula diduduki).
"Justeru kami berharap tempoh dua minggu yang diberikan kepada pihak terbabit akan membawa khabar melegakan kepada kami," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, media melaporkan kerajaan Selangor memberikan tempoh dua minggu kepada MRT Corp untuk membentangkan perincian berhubung rancangan pembinaan stesen MRT3 di Taman Kencana kepada jawatankuasa yang terlibat sebelum sebarang kata putus dan kelulusan berhubung pembinaannya boleh diberikan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak menolak segala bentuk kemajuan infrastruktur, namun ia haruslah seiring dengan keperluan masyarakat setempat.
Sumber: Harian Metro
Comments