AMPANG - Penduduk di Jalan Kemensah Heights di sini tersinggung selepas didakwa membina struktur tambahan rumah yang melanggar undang-undang yang menjadi punca kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan pada Jumaat lalu.
Salah seorang penghuni orang kenamaan (VIP) yang enggan namanya disiarkan berkata, beberapa hari lalu lokasi kejadian itu menjadi tumpuan pemberita untuk mendapatkan maklumat.
Malah, beliau berkata, pemimpin kerajaaan dan negeri juga mengadakan lawatan dan tinjauan di lokasi kejadian bagi menunjukkan keperihatinan mereka terhadap penghuni terbabit.
"Banyaklah berita yang telah zahir dalam media (namun) ada (perkara) yang dilaporkan didapati mengelirukan serta menyinggung perasaan penduduk tempatan.
"Sebenarnya penduduk Kemensah Heights tidak pernah membuat apa-apa bangunan tanpa izin dalam rizab sungai seperti yang dilaporkan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Jumaat, tiga rumah banglo dan 12 rumah jenis bandar membabitkan 27 keluarga terjejas dalam insiden tanah runtuh itu, namun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.
Berikutan itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan membuat lawatan dan tinjauan di lokasi kejadian pada Ahad.
Beliau berkata, pembinaan struktur tambahan yang melanggar undang-undang dan garis panduan dikenal pasti antara punca menyebabkan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights.
Takiyuddin bagaimanapun berkata, pihaknya faham ada antara penduduk terpaksa membuat pembinaan struktur tambahan berikutan keperluan keluarga semakin besar, namun menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Sementara itu, beliau berkata, laporan lengkap mengenai insiden disediakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dijangka siap pada Isnin akan dijadikan panduan kepada agensi dan jabatan lain untuk membuat tindakan susulan.
Sumber: Sinar Harian
Comments