BAYAN LEPAS: Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju diminta bersikap berani dan turun padang mengadakan sesi libat urus atau 'town hall' dengan semua pihak berkepentingan berhubung cadangan pembinaan asrama pekerja asing.
Pada sesi berkenaan, hasil dapatan Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Trafik (TIA) dan lain-lain kajian yang sudah dibuat, termasuk Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) juga perlu dibentangkan.
Mengemukakan pandangan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, dalam hal cadangan pembinaan asrama warga asing di sekitar Teluk Kumbar, di sini, kerajaan negeri perlu menolak permohonan kebenaran merancang yang dimohon pemaju.
Katanya, selain sudah beberapa kali menyuarakan gesaan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, tiga siri bantahan terbuka juga sudah dibuat penduduk setempat sebelum ini, manakala beberapa memorandum rakyat sudah disampaikan kepada kerajaan negeri.
"Pertemuan juga telah dibuat, namun hasilnya dilihat masih kabur. Hasil dapatan kajian dan cadangan mitigasi yang sudah disyaratkan kepada pemaju kepada rakyat setempat juga perlu diterang dan disertakan.
"Buka ruang ketelusan bagi bersuara, rakyat berhak dapatkan maklumat yang jelas dan mereka perlu diberi penjelasan sebelum ia diluluskan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, kerajaan negeri dilapor bakal membina tiga asrama pekerja asing, masing-masing satu di Sungai Batu dengan keluasan 2.8 hektar dan dua di Teluk Kumbar, masing-masing dengan keluasan 4.78 hektar dan 1.4 hektar.
Ia bakal menempatkan kira-kira 30,000 sehingga 50,000 pekerja, sedangkan jumlah penduduk tempatan di situ hanya kira-kira 15,000.
Azrul berkata, pihaknya menyambut baik keputusan membatalkan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) membabitkan kawasan seluas 337 hektar di Bertam, Kepala Batas, baru-baru ini.
Berbeza dengan kawasan di Bertam yang diwartakan sebagai taman perindustrian, beliau berkata, perkara sebaliknya di Teluk Kumbar sehingga ada lot yang pada asalnya zon kediaman sudah dilingkung semula sebagai zon perniagaan.
"Terdapat kawasan yang luas di Bertam bagi membina tiga blok 10 tingkat, tetapi di Teluk Kumbar pula sempit bagi membina enam blok 28 tingkat, selain membabitkan rizab pantai, sekaligus menyebabkan nelayan terkesan.
"Sebahagian tanah kerajaan di Teluk Kumbar turut diberi milikan kepada syarikat terbabit sedangkan tanah itu saya sudah cadangkan bagi pembinaan perumahan rakyat," katanya lagi.
Dalam kes di Bertam, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman sebelum ini mengumumkan pemaju bersetuju membatalkan pembinaan CLQ selepas mengambil kira pandangan pemegang taruh termasuk penduduk dan jabatan teknikal.
Sebaliknya, pemaju akan memfokuskan pembinaan kilang berteknologi tinggi dengan mengikut spesifikasi ditetapkan oleh jabatan teknikal dan PBT.
Azrul berkata, jika di Bertam, mungkin faktor utama kejatuhan pasaran hartanah menjadi elemen pembatalan cadangan pembinaan CLQ, namun perkara sama juga perlu dilihat di Teluk Kumbar, selain keadilan hak kehidupan selesa dan selamat untuk penduduk sekitar kawasan itu.
"Paling teruk ialah kejatuhan keharmonian kehidupan warganya serta kebolehdayahuni seperti digagaskan dalam Penang2030 hanya menjadi mimpi di alam nyata. Aset paling penting bagi sesebuah negeri atau negara adalah rakyatnya, melebihi daripada segalanya," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments