top of page

Pendapatan tertinggi dalam sejarah lonjak saham Gamuda

  • Dec 20, 2022
  • 2 min read

Pendapatan tertinggi dalam sejarah lonjak saham Gamuda Berita Harian www.bharian.com.my
Gamuda

KUALA LUMPUR: Saham Gamuda Bhd di Bursa Malaysia meningkat berikutan pengumuman keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah kepada RM1.17 bilion pada suku pertama berakhir 31 Oktober 2022 bagi tahun kewangan 2023 (S1TK 2023).


Setakat jam 3.36 petang, saham Gamuda berada pada RM3.68 sesaham dengan 5.14 juta saham bertukar tangan.


MIDF Research dalam nota penyelidikan,kontrak dalam tangan Gamuda kekal pada rekod tertinggi kepada RM14.8 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan sehingga TK2026 atau TK2027, terutama daripada projek luar negara.


"Gamuda memiliki kontrak luar negara berjumlah RM11.6 bilion atau 78 peratus daripada nilai kontrak dalam tangan dengan RM8 bilion dari Australia. Kumpulan itu juga memiliki kontrak bernilai RM2.1 bilion di Taiwan dan RM1.5 bilion di Singapura dan baki RM3.2 bilion di Malaysia.


"Kami cukup yakin bahawa syarikat itu mampu mencapai sasaran memperoleh kontrak baharu bernilai RM25 bilion dalam tempoh dua tahun. Kadar perolehan tender Gamuda adalah kira-kira 40 peratus," katanya.


Firma penyelidik itu berkata, Gamuda telah meletakkan sasarannya untuk menjadi firma lebih berpengaruh di Australia dengan menyasarkan untuk melaksanakan sendiri projek di negara itu dalam jangka masa panjang.


Walaupun MIDF Research pada mulanya mengunjurkan sedikit penurunan dalam pendapatan Gamuda berikutan pelupusan konsesi tolnya, namun ia akan segera digantikan dengan pendapatan pembinaan dan hartanahnya yang lebih kukuh, katanya.


Sementara itu, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd positif bahawa Gamuda akan menumpukan pada ruang tenaga boleh diperbaharui (RE) sebagai pertumbuhan baharunya dengan sasaran perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM2 bilion.


Firma penyelidik itu berkata, pengambilalihan 30 peratus kepentingan dalam ERS Energy Sdn Bhd baru-baru ini adalah langkah strategik untuk meneruskan projek pembinaan dan pentauliahan perolehan kejuruteraan hidro dan tenaga solar (EPCC) baharu dengan potensi pendapatan berulang serta kadar pulangan dalaman (IRR) ekuiti yang disasarkan pada kadar pertengahan hingga lebih tinggi untuk projek dalam dan luar negara.


Selepas semua pertimbangan, MIDF Research dan CGS-CIMB mengekalkan saranan 'BELI' ke atas Gamuda dengan harga sasaran masing-masing RM4.67 dan RM4.69. -- BERNAMA


Sumber: Berita Harian


 
 
 

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page