KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memudah cara prosedur perolehan kerajaan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dapat membantu memacu sektor pembinaan yang terkesan berikutan kenaikan harga bahan binaan susulan penularan pandemik COVID-19.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata langkah itu sekali gus akan membantu kumpulan sasar termasuk golongan berpendapatan rendah (B40) dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata, dengan membenarkan perubahan harga atau variation of price (VOP) bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan dari 1 Januari sehingga 31 Disember ini, ia akan membantu pihak kontraktor menangani kenaikan mendadak harga bahan mentah ketika ini.
"Ketika ini, kenaikan bahan mentah turut memberi impak kepada masalah kewangan kontraktor. Langkah ini juga dapat melancarkan proses permintaan dan penawaran dalam kerja-kerja pembinaan," katanya.
Beliau berkata, dengan membantu kontraktor G1 hinga G4 tempatan melaksanakan projek berskala kecil secara undian dan sebut harga pula, kontraktor berkenaan dapat melaksanakan kerja dengan lebih efektif kerana mendapat harga yang keuntungannya lebih selesa.
"Ia juga memberi peluang kepada lebih ramai kontraktor kecil untuk mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan.
"Kerajaan turut umumkan kebenaran lanjutan masa (EOT) projek kerja atau lanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan perkhidmatan yang terjejas pula akan membolehkan kontraktor menjadualkan semula jadual kerja bagi memastikan kerja dapat disiapkan sepenuhnya," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Fadillah berkata , jika projek ditamatkan impak kewangan dan masa penyiapan projek yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah lebih tinggi berikutan masa diperlukan untuk melantik kontraktor baru dengan harga baru juga biasanya lebih tinggi daripada kontrak asal.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Petra Jaya itu juga bersetuju apabila semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang diberikan peruntukan RM300,000 untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas akibat pandemik COVID-19 di kawasan masing-masing.
"Ia akan membolehkan lebih ramai rakyat di semua kawasan dapat dibantu dalam keadaan sukar seperti sekarang. Pemberian peruntukan tanpa mengenal latar belakang politik ini juga membuktikan betapa kerajaan Persekutuan hari ini komited dengan pendekatan prihatin rakyat serta sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan tanpa mengira kepercayaan dan latar belakang politik," katanya.
Sumber: Berita Harian
コメント