top of page

Pembinaan Rio City Interchange mampu atasi masalah trafik


Sze Han (tengah) dan Tin Yow (empat kanan) ketika merasmikan Persimpangan Bandar Rio di Bandar Puteri Puchong, hari ini.

PUCHONG – Persimpangan Bandar Rio (Rio City Interchange) di sini yang menghubungkan laluan antara Lebuh Puteri ke kawasan perbandaran Bandar Puteri dibuka secara rasmi hari ini.


Projek yang dibina sepanjang 2.35 kilometer itu telah dibiayai sepenuhnya sebanyak RM90 juta oleh IOI Properties Group Berhad (IOIPG) bagi menambah baik aliran trafik termasuk perhubungan Bandar Puteri.


Selain itu, projek terbabit turut melibatkan pembinaan jambatan berbumbung pejalan kaki sepanjang 35 meter bagi meningkatkan akses pengguna ke Pusat Korporat Kewangan Puchong (PFCC) dan perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT).


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pelaksanaan projek tersebut bukan sahaja untuk mengatasi kesesakan lalu lintas pada masa ini malah untuk menampung pertambahan kenderaan pada masa hadapan.


“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas, kemudahan pejalan kaki juga dibina dari Puteri 8 sehingga kawasan komersial di Puteri 1. Secara tidak langsung, ia dapat menggalakkan orang ramai untuk berjalan kaki ke kawasan komersial.


“Justeru, ‘Interchange’ ini merupakan satu projek yang sangat penting kepada pengguna jalan raya termasuk penduduk di sini sekali gus menyaksikan Bandar Puteri ke arah pembangunan mampan,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Four Points di sini hari ini.


Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd. Zulkurnain Che Ali, Ketua Pegawai Eksekutif IOIPG, Datuk Voon Tin Yow dan Ketua Pegawai Operasi IOIPG, Teh Chin Guan.


Sementara itu, Tin Yow berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada komuniti di Bandar Puteri.


“Saya bangga projek ini mampu disiapkan secara berperingkat dan secara tidak langsung dapat meningkatkan potensi nilai hartanah di kawasan tersebut.


“Kita juga kekal komited sebagi pemaju yang dipercayai dan memahami kepentingan membina infrastruktur yang baik kepada komuniti di sini,” katanya.


Sumber: Kosmo!

25 views
bottom of page