SHAH ALAM: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan bahawa cadangan pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) kini dalam proses rundingan antara pihak kerajaan Persekutuan dengan syarikat pencadang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pertanian, Perladangan dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim, berkata kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 30 September 2020 mengambil maklum pembentangan projek daripada LLM berkenaan cadangan projek berkenaan.
Katanya, MMKN dalam mesyuarat yang sama sudah menimbang dan bersetuju secara dasar dengan cadangan projek PJD Link dan menetapkan syarat, antaranya projek dilaksanakan mengikut tatacara pemprosesan permohonan secara rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
"Antaranya, pihak konsesi perlu melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar dan Kajian Impak Sosial termasuk mengadakan sesi public engagement bersama penduduk setempat yang terbabit dalam jajaran yang dicadangkan.
"LLM perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi penyelarasan pembinaan projek dengan pembangunan yang diluluskan di peringkat MBPJ di kawasan rizab sungai; proses pengambilan balik tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu dan penyelenggaraan sungai diserahkan kepada pihak konsesi.
"Ia berikutan 2.5 kilometer daripada jajaran lebuh raya ini berada di atas rizab sungai dengan pembinaan maksimum sehingga ke sempadan rizab sungai," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata, syarat berkenaan ditetapkan bagi mengelakkan isu seperti urusan tanah yang masih belum selesai yang membelenggu projek lebuh raya sedia ada serta bantahan penduduk setempat terhadap jajaran lebuh raya yang melalui kawasan kediaman.
Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) mengenai status cadangan pembinaan Lebuhraya PJD Link.
Sumber: Berita Harian
Comments