Pembinaan jeti Pulau Pababag disegerakan
- Feb 2, 2023
- 1 min read

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyerahkan surat arahan pelaksanaan kepada Pejabat Daerah Semporna, Sabah dan peruntukan RM400,000 bagi membina semula jambatan dan jeti di Pulau Pababag, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berharap pembinaan semula jambatan dan jeti berkenaan yang dilaporkan robohpada 30 Januari lalu, dapat disegerakan.
Katanya, ia bagi memudahkan pergerakan penduduk terjejas khususnya murid dan taman didikan kanak-kanak (TADIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
"Pergerakan harian sekurang-kurangnya 151 murid sekolah dan 35 murid TADIKA KEMAS terjejas akibat jambatan dan jeti yang runtuh ini.
"Saya harap pembinaan jambatan dan jeti ini dilaksanakan segera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 30 Januari lalu, tular video berdurasi satu minit 30 saat menunjukkan dua guru berusaha menyelamatkan 25 murid dalam kejadian jeti utama roboh di Kampung Pababag untuk ke Sekolah Kebangsaan Pulau Pababag.
Dua murid dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bibir dan tangan akibat terkena serpihan kayu serta simen jeti berkenaan.
Ketika kejadian, Ahmad Zahid berada di Sabah bagi meninjau keadaan banjir di negeri itu sebelum dimaklumkan berhubung insiden itu oleh Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan.
"Saya mengarahkan pihak KKDW berhubung dengan Pejabat Daerah Semporna bagi menyiasat dan mengambil tindakan segera kerana laluan itu adalah laluan biasa bagi urusan pergerakan harian penduduk, termasuk menghantar anak ke sekolah serta TADIKA KEMAS di Pulau Pababag," katanya.
Sumber: Berita Harian





Comments