
Ipoh: Kerja pembaikan cerun runtuh di Bukit Larut, Taiping dijangka siap pada 2025 dan jalan berturap ke puncak bukit boleh dibuka semula kepada orang ramai pada 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee (PH-DAP), berkata, status terkini Bukit Larut adalah ia masih ditutup untuk operasi jeep dan sewaan banglo kepada orang awam.
Katanya, aktiviti riadah seperti mendaki (hiking), berjalan kaki dan berjoging masih dibenarkan namun pengunjung yang memasuki kawasan Bukit Larut bertanggungjawab senidiri terhadap risiko.
Sze Yee berkata, pembaikan baki kerja cerun runtuh akan dilaksanakan pada tahun depan yang mana iklan tender dijangka akan dikeluarkan pada Januari 2023 dengan anggaran kos pembaikan RM8 juta.
"Projek dijangka siap pada 2025 dan jalan boleh dibuka semula kepada orang awam pada 2026," katanya menjawab soalan lisan Ong Seng Guan (Pokok Assam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, hari ini.
Katanya lagi, kerja pembaikan sudah dijalankan sejak tahun 2020 yang sehingga kini sudah membabitkan peruntukan RM6.14 juta.
Sebagai rekod, penutupan Bukit Larut adalah selepas ia mengalami beberapa siri kejadian cerun atau tanah runtuh sejak November 2019.
Sumber: Harian Metro
Comments