top of page

Pemaju sedia baiki rumah retak akibat letupan batu



Kuantan: Kegiatan meletupkan batu bagi projek perumahan menimbulkan keresahan penduduk Taman Pelindung Jaya, di sini, apabila mendakwa beberapa bahagian rumah mulai retak.


Difahamkan, aktiviti itu bermula sejak Mei tahun ini hingga bulan lalu dan hampir setiap hari letupan dilakukan.


Penduduk Mohd Naim Marzuki, 36, berkata kedudukan tapak pembinaan dengan taman perumahan itu berjarak kira-kira 20 meter dengan dipisahkan pagar zink.


Menurutnya, aktiviti meletup batu juga menyebabkan berlaku gegaran kuat sehingga berlaku keretakan pada bahagian dalam dan luar rumah.


"Sebelum ini syarikat pembinaan terbabit memecahkan bongkah batu pelbagai saiz dengan cara menebuk lubang, sebelum mereka menggunakan bahan letupan.


"Sudah banyak kali penduduk membuat aduan kepada pemaju terbabit, mereka akan berhenti namun akan menyambung semula aktiviti itu kemudian," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.


Penduduk Rozaiman Hassan, 50, berkata selain dinding dan bahagian depan rumahnya retak, serapan air juga berlaku pada dinding dan siling hingga menyebabkan kerosakan cat.


"Saya amat terkilan kerana ia menyebabkan berlaku kerosakan pada beberapa bahagian rumah yang mula diduduki empat tahun lalu itu.


"Justeru, saya berharap pemaju projek itu tidak menggunakan bahan letupan untuk memecahkan batu, sebaliknya menggunakan kaedah lebih sesuai dan selamat," katanya.


Sementara itu, Pengarah Armani Idaman Sdn Bhd Datuk Tan Kee Tong berkata, pihaknya kini tidak menggunakan bahan letupan untuk memecahkan batu selepas mendapatkan nasihat pihak berkuasa.


Menurutnya, kontraktor tapak projek hanya menggunakan bahan kimia untuk memecahkan batu walaupun menelan kos lebih mahal.


Katanya, syarikat itu selaku pemaju Taman Pelindung Jaya sentiasa berusaha menyelesaikan masalah yang berlaku bagi memastikan ketenteraman penduduk.


"Malah, syarikat juga berusaha membaiki keretakan rumah hingga selesai, selain menambah tempoh perjanjian membaiki kerosakan hingga selesai berbanding dua tahun sebelum ini.


"Mereka yang mengalami kerosakan rumah akan kerja-kerja letupan batu boleh mengisi borang aduan untuk proses pembaikan," katanya.


Sumber: Harian Metro

17 views
bottom of page