
Pengurusan warisan dalam bahasa mudahnya merujuk kepada sistem dan tatacara pengurusan aset warisan. Warisan terbahagi kepada dua iaitu ketara dan tidak ketara yang berkisar kepada proses mengenal pasti, menjaga dan melestari aset warisan berpaksikan matlamat kepentingan awam.
Selain itu, ia juga merujuk kepada penjagaan secara sistematik dalam usaha mengekalkan nilai budaya terdapat pada aset warisan budaya supaya dapat dinikmati generasi sekarang dan akan datang.
Selari dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (645), menjaga aset warisan adalah tanggungjawab semua terutama penjaga warisan sejurus selepas pewartaannya oleh Jabatan Warisan Negara.
Usaha pewartaan ini menyokong aspirasi Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN 2021) dalam memacu industri seni, budaya dan warisan negara.
Terdapat tujuh teras utama ditekankan berkaitan pelaksanaan seni, budaya dan warisan pada masa hadapan.
Ia merangkumi budaya nilai tinggi, keharmonian masyarakat, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya, pembangunan dan pengembangan budaya, pemerkasaan budaya, penjanaan ekonomi kebudayaan serta kecemerlangan budaya.
Lantaran itu, warisan ini perlu dijaga kerana kepentingan asetnya kepada pembentukan sejarah, tradisi dan amalan serta identiti sesebuah bangsa.
Lahir rasa kepunyaan dalam diri rakyat
Pada sisi lain, melalui perkongsian identiti warisan, ia mampu melahirkan rasa kepunyaan dalam diri rakyat, sekali gus membenihkan semangat kecintaan kepada warisan budaya Malaysia.
Justeru, aset warisan budaya perlu dipelihara dan dijaga dengan baik bagi memastikan kelestarian identiti kita sebagai rakyat Malaysia.
Namun begitu, terdapat pelbagai isu dan masalah didedahkan berkaitan pengurusan warisan di negara kita yang tidak berada pada tahap baik.
Kesannya, aset warisan kita tergadai, rosak, dan roboh begitu sahaja tanpa pembelaan dan diwartakan. Sebagai contoh, isu bangunan, monumen, artifak, tapak warisan yang tidak mendapat hak pengurusan yang sewajarnya daripada semua pihak.
Natijahnya, tapak dan bangunan warisan dirobohkan dan diabaikan akan meninggalkan kesan mendalam terhadap pembentukan identiti serta memori kolektif masyarakat.
Selain itu, terdapat pelbagai tapak dan bangunan warisan diwartakan Jabatan Warisan Negara, tetapi seperti terabai selepas diwartakan.
Justeru, kita harus belajar daripada contoh amalan baik pengurusan warisan dunia. Antaranya menggalakkan penjaga warisan dan komuniti untuk sama-sama terbabit dalam menguruskan aset warisan.
Komuniti perlu digalakkan bersama-sama menyumbang dalam proses pengurusan warisan dari aspek sejarah, pengalaman dan pengetahuan tempatan dengan pembuat keputusan.
Fasa ini membabitkan satu proses rundingan secara berfakta antara komuniti dan pembuat keputusan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menghasilkan dasar atau garis panduan pengurusan warisan lestari.
Dalam usaha membabitkan komuniti dalam pengurusan warisan, terdapat beberapa contoh boleh dipelajari antaranya konsep Album Terbuka (Open Album) di Helsinki, Finland.
Projek Album Terbuka ini bertujuan menyimpan kenangan komuniti mengenai bandar mereka, khususnya berkaitan dengan warisan bandar dengan pendigitalan foto arkib persendirian. Tujuan utama adalah untuk menyedarkan rakyat kepentingan identiti warisan.
Projek ini adalah galeri foto digital dalam talian mengumpul dan mendigitalkan foto daripada arkib peribadi dan album keluarga, menggambarkan warisan dan ia juga tidak boleh ditemui dalam dokumen sejarah rasmi.
Melalui pendigitalan foto dan menyimpannya secara dalam talian, ia akan terpelihara untuk tatapan generasi akan datang. Dengan kata lain, projek ini menjemput orang ramai menambahkan foto peribadi mereka ke koleksi negara.
Secara tidak langsung, aktiviti ini membolehkan orang ramai memilih foto peribadi untuk dipaparkan di pameran maya dan berperanan sebagai kurator.
Selain itu, pembabitan pihak bertanggungjawab dalam konsep Pengurusan Bersama juga disarankan dalam memastikan pengurusan warisan baik selain kerjasama diadakan antara PBT, penjaga warisan, institusi warisan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.
Contohnya di Amsterdam, Belanda, pihak berkuasa bandar raya itu mengadakan Hari Warisan bagi meraikan warisan mereka dan memberikan kesedaran kepentingannya.
Pada hari itu, kemasukan ke tapak dan bangunan warisan adalah percuma kepada orang awam. Ia juga membabitkan penyertaan pengurus warisan, orang awam, sukarelawan yang dilatih dan pelbagai pihak berkepentingan. Aktiviti kebudayaan turut diadakan pada hari itu.
Selain itu, pengurusan warisan juga berkait rapat dengan usaha untuk mengelakkan kerosakan terhadap aset warisan. Ia membabitkan pengurusan risiko bencana terhadap aset warisan di Malaysia dan ia perlu dikemas kini serta ditambah baik.
Tanpa warisan tiada masyarakat
Terdapat banyak pedoman boleh dipelajari masyarakat mengenai struktur binaan dan bangunan sesebuah tapak warisan berdasarkan amalan di luar negara.
Justeru, struktur binaan bangunan lama yang masih utuh pada masa kini memberikan panduan kepada kita contoh bahan binaan struktur bangunan selamat bagi lokasi sering mengalami bencana. Ia memberikan panduan kepada masyarakat pada masa kini dalam membina bangunan baharu di lokasi berisiko bencana.
Rangka kerja pengurusan warisan yang lestari perlu didasari sistem orientasi strategik jangka panjang dengan pembabitan masyarakat setempat dalam membuat keputusan. Ini bersesuaian dengan tapak warisan lain yang kompleks seperti bandar bersejarah dan landskap budaya.
Aset warisan adalah manifestasi identiti dan budaya sesebuah masyarakat. Tanpa masyarakat, maka tiadalah warisan.
Oleh itu, rakyat Malaysia perlu belajar dan mengambil teladan daripada kejayaan negara lain memelihara dan menjaga aset warisan mereka, tetapi menggunakan acuan negara sendiri.
Kesimpulannya, pengurusan warisan didasari daripada amalan baik dunia perlu disertai semua pihak termasuk penjaga warisan, komuniti, industri, pengurus warisan, NGO, kerajaan dan sudah tentu PBT.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
Sumber: Berita Harian
Comments