KUALA LUMPUR: Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) hanya membabitkan lima sektor atau subsektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata pelaksanaan pelan berkenaan bertujuan menyegerakan proses permohonan dan kelulusan penggajian pekerja asing dalam sektor kritikal.
Katanya, majikan dalam kelima-lima sektor atau subsektor berkenaan boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing di platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval berkuat kuasa serta-merta.
"KSM akan memproses dan memberi kelulusan permohonan penggajian pekerja asing ini dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima.
"Pengiklanan kekosongan jawatan di Portal MyFutureJobs dikecualikan berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, majikan yang sudah membuat permohonan penggajian pekerja asing dalam Modul FWe Approval dan Modul eQuota sebelum hari ini, perlu mengemukakan semula permohonan baharu dalam Modul FWe Approval.
Katanya, ia bagi membolehkan permohonan majikan dipertimbangkan di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing berkenaan.
Mereka yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran, Kementerian Sumber Manusia di talian 03-8885 2939/2940.
Sumber: Berita Harian