KUALA LUMPUR: Pasukhas Energy Sdn Bhd dan Vsolar Engineering Sdn Bhd hari ini memeterai perjanjian kerjasama untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) kepada industri taman solar.
Kedua-dua syarikat dalam satu kenyataan bersama berkata, kerjasama yang dimeterai adalah bagi memenuhi keperluan projek solar dalam tempoh 24 bulan akan datang.
"Kerjasama itu akan menyaksikan Pasukhas dan Vsolar menggabungkan sumber masing-masing bagi membina pasukan pengurusan dan pelaksana produk bagi memenuhi keperluan mana-mana projek solar skala besar (LSS) akan datang yang memerlukan operator turnkey," katanya.
Pasukhas mempunyai pasukan kejuruteraan dan pembinaan khusus, dengan trek rekod panjang dalam pengurusan dan pembinaan projek kerja sivil, loji hidro mini serta loji tenaga.
Dengan kepakaran teknologi Vsolar, selain rantaian bekalannya daripada vendor yang kompetitif dan inovatif bagi penyelesaian berasaskan solar, kerjasama itu diyakini mampu menyediakan penyelesaian reka bentuk, pembinaan dan pengoperasian turnkey kepada pelbagai penerima LSS yang bercadang untuk beroperasi dalam masa terdekat.
Sumber: Berita Harian
Comments