KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan pasukan bertindak khas bagi menangani projek 'sakit' dan lewat siap, membabitkan pembinaan hospital serta klinik kesihatan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pasukan bertindak itu diketuai oleh ketua setiausaha kedua-dua kementerian.
Katanya, pasukan bertindak itu juga akan memikirkan dan mencari pendekatan baharu bagi memastikan setiap projek KKM pada masa depan tidak mengalami kelewatan.
"Pembinaan hospital dan klinik kesihatan ini amat mencabar dan kita sedar ada cabaran. Ada hospital tidak dapat disiapkan. Jadi projek sakit dan lewat disiapkan.
"Kita bersetuju tubuh 'taskforce' membabitkan Kementerian Kerja Raya dan KKM supaya ada pasukan khusus untuk melihat dan mencari jalan memastikan masalah ini dapat ditangani," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Tender dan Penyerahan Projek Siap di bawah Pelaksanaan Kementerian Kerja Raya, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Ditanya jumlah projek pembinaan hospital serta klinik kesihatan yang berdepan masalah terbabit, Fadillah berkata, itu hanya membabitkan peratusan kecil.
"Peratusan tak besar tapi walaupun satu sebagai contoh, kita tetap mengambil serius masalah yang berlaku kerana hospital keperluan rakyat kita.
"Sebab itu kita mahu memastikan setiap projek pembinaan hospital atau klinik kesihatan selepas ini tidak berdepan masalah kelewatan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara punca kelewatan dan projek terbengkalai disebabkan kontraktor berdepan masalah aliran tunai.
"Ada juga punca kelewatan disebabkan masalah reka bentuk serta masalah lewat membuat keputusan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Commentaires