PARLIMEN: Pengurangan belanja pembangunan jejas projek sedia ada


Projek pembangunan akan terjejas jika peruntukan dikurangkan. - Foto hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengurangan perbelanjaan pembangunan 2021 akan memberi implikasi terhadap projek sedia ada yang dalam pembinaan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata cadangan itu antara lain boleh menyebabkan pelaksanaan projek sedia ada tidak dapat diteruskan.


Katanya, COVID-19 adalah masalah dinamik yang berubah setiap hari dan kerajaan akan membuat pertimbangan sewajarnya, jika wujud keperluan atau perkara mendesak.


"Pembangunan merangkumi empat komponen, pertama adalah projek berdasarkan strategi kerajaan membangunkan negara antaranya Dasar Ekonomi Baharu dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2020 (WKB2020)


"Kedua, dahulunya sebahagian daripada perbelanjaan ini diperuntukkan di bawah mengurus kerajaan mengikut pertimbangan tertentu dan buat keputusan untuk dimasukkan di bawah pembangunan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.


Ketika sesi perbahasan sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dan Wong Chen (PH-Subang) mencadangkan supaya peruntukan pembangunan bernilai RM69 bilion dikurangkan dan dialih kepada tabung COVID-19.


Mustapa berkata, komponen ketiga pembangunan merangkumi projek kerjasama awam dan swasta, manakala keempat adalah peruntukan projek bagi memulihkan beberapa institusi seperti FELDA, Tabung Haji dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


"Ini juga dimasukkan dan sebahagian besar daripada projek ini adalah untuk menyambung apa yang dimulakan pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).


"Sekarang sudah RMKe-12 dan banyak infrastruktur lain sudah dibina, jadi adalah tidak wajar untuk memberhentikan projek ini.


"Jika ikut cadangan Ahli Parlimen Port Dickson dan Subang, mungkin implikasinya kita terpaksa menghentikan projek yang sudah bermula," katanya.


Mustapa berkata, negara mempunyai lebih 100,000 kontraktor pembinaan dengan kira-kira 50,000 daripadanya adalah kontraktor G1.


Katanya, pemberhentian projek pembangunan bermakna kontraktor tidak mempunyai kerja dan pembangunan negara akan terencat.


"Itulah risiko yang perlu ditanggung jika kita pertimbangkan cadangan daripada Ahli Parlimen Port Dickson dan Subang," katanya.


Sumber: Berita Harian

66 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.