top of page

Nilai kerja pembinaan cecah RM32.4 bilion pada suku kedua


Nilai kerja pembinaan cecah RM32.4 bilion pada suku kedua
Sektor pembinaan meningkat 8.1 peratus pada suku kedua 2023 - Foto fail NSTP

Nilai kerja pembinaan cecah RM32.4 bilion pada suku kedua

PUTRAJAYA: Sektor pembinaan Malaysia terus berkembang pada suku kedua 2023 apabila meningkat sebanyak 8.1 peratus dengan nilai kerja berjumlah RM32.4 bilion.


Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata nilai kerja dalam sektor pembinaan terus meningkat selama lima suku tahun, disokong oleh pertumbuhan dua angka kejuruteraan awam dengan pertumbuhan sebanyak 10.4 peratus pada suku kedua 2023.


"Pada masa yang sama, subsektor aktiviti pertukangan khas mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi pada suku ini sebanyak 9.8 peratus berbanding sembilan peratus dalam suku sebelumnya manakala subsektor bangunan bukan kediaman meningkat secara sederhana sebanyak 5.7 peratus.


"Tambahan pula, nilai kerja pembinaan dalam subsektor bangunan kediaman pulih kepada 6.9 peratus daripada negatif 2.2 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Mohd Uzir berkata, sejumlah RM12.1 bilion atau 37.4 peratus daripada nilai kerja pembinaan disumbang oleh kejuruteraan awam terutamanya oleh aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api dengan nilai sebanyak RM6.5 bilion pada suku kedua lalu.


Sementara itu, katanya nilai kerja pembinaan bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing sebanyak RM9.9 bilion (30.7 peratus) dan RM7.3 bilion (22.7 peratus).


"Kedua-dua aktiviti pembinaan ini meliputi lebih separuh daripada nilai kerja pembinaan pada suku ini, merangkumi 53.4 peratus.


"Sementara itu, aktiviti pertukangan khas berjumlah RM3 bilion (9.2 peratus), sebahagian besarnya dalam aktiviti pemasangan sistem paip, pemanasan, dan pendingin udara (RM900 juta); dan pemasangan elektrik (RM800 juta)," katanya.


Beliau menjelaskan, sektor swasta kekal sebagai pendorong utama kepada pertumbuhan pada suku kedua 2023, dengan peningkatan sebanyak 17.3 peratus.


Katanya, nilai kerja oleh sektor swasta berjumlah RM20.4 bilion atau 63.1 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan.


"Walau bagaimanapun, sektor awam dengan sumbangan sebanyak 36.9 peratus atau bersamaan dengan RM11.9 bilion, mengalami penurunan sebanyak 4.8 peratus pada suku ini," katanya.


Mengulas prestasi mengikut negeri, Mohd Uzir berkata hampir satu perempat atau 23.3 peratus daripada nilai kerja pembinaan pada suku kedua 2023 tertumpu di Selangor yang berjumlah RM7.5 bilion.


Beliau berkata, nilai kerja pembinaan yang tertinggi di Selangor adalah kejuruteraan awam (RM2.4 bilion), diikuti oleh bangunan kediaman (RM2.3 bilion) dan bangunan bukan kediaman (RM2.1 bilion).


"Sementara itu, Johor yang berada di tempat kedua dengan nilai sebanyak RM3.8 bilion atau dengan sumbangan 11.9 peratus, disokong terutamanya oleh subsektor bangunan bukan kediaman (RM1.4 bilion) dan kejuruteraan awam (RM1.3 bilion).


"Dalam pada itu, nilai kerja pembinaan di Wilayah Persekutuan sebanyak RM3.7 bilion (11.5 peratus) dan Sarawak dengan RM3.4 bilion (10.5 peratus)," katanya.


Sumber: Berita Harian


Nilai kerja pembinaan cecah RM32.4 bilion pada suku kedua


Comentarios


bottom of page