top of page

Negeri Sembilan lulus 336 projek


Gambar hiasan

SEREMBAN: Kerajaan negeri meluluskan 336 projek bernilai RM37.7 juta daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), peringkat kedua tahun ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sebanyak 1,092 kontraktor memenuhi syarat daripada 1,615 yang mendaftar melalui dalam talian untuk undian berkenaan.


"Projek yang diluluskan ini membabitkan penyelenggaraan kemudahan infrastruktur seperti jalan dan longkang dengan nilai setiap satu antara RM80,000 hingga RM100,000.


"Ia bertujuan menyediakan infrastruktur jalan raya yang selamat dan selesa untuk kepentingan pengguna.


"Projek ini juga menjadi sebahagian daripada usaha merangsang semula ekonomi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua di Negeri Sembilan, selepas terkesan dengan wabak pandemik COVID-19," katanya selepas program cabutan kerja undi penyelenggaraan jalan MARRIS Fasa Dua secara dalam talian, di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd Khidir Majid dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Roslan Mohd Salleh.


Aminuddin berkata, dalam fasa pertama projek MARRIS awal tahun ini, kerajaan negeri meluluskan 443 projek dengan nilai peruntukan RM41.97 juta.


Katanya, program kerja undi yang dilaksanakan itu sebahagian daripada pembangunan infrastruktur yang penting.


"Ini bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kemudahan asas yang baik, selain peningkatan tahap produktiviti serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan," katanya.


Beliau berkata, pihaknya menggingatkan kepada kontraktor yang berjaya supaya dapat melaksanakan projek berkenaan dengan cekap dan berkualiti.


"Ini penting bagi membuktikan kesungguhan mereka dalam memperkasa usahawan Bumiputera dalam bidang pembinaan," katanya.


Sumber: Berita Harian

 
 
 

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page