Negeri perlu dapat kelulusan Pusat bina lapangan terbang
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri yang mahu melaksanakan pembinaan lapangan terbang baharu mesti mendapat kelulusan Kerajaan Pusat, selain perlu menubuhkan Aerodrom mengikut akta sedia ada bagi membolehkan mereka memohon Lesen Pengendali Aerodrom (AOL).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata tanpa memperoleh lesen AOL, sesuatu lapangan terbang itu tidak akan dibenarkan untuk beroperasi.
"Lapangan terbang sebenarnya bawah kuasa Kerajaan Pusat, di mana kita melihat dua aspek. Pertama, kita mesti dapat untuk menubuhkan Aerodrom itu mengikut akta yang ada. Apabila kelulusan diberi, barulah syarikat, pemaju atau penggerak projek ini boleh memohon AOL.
"Ia perlu melalui dua aspek pula, kena melalui MAVCOM dan kedua, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM). Untuk mendapat AOL ini, dia kena melalui dua proses. Kalau tak dapat AOL, bermaksud lapangan terbang itu tidak boleh beroperasi," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Loke Siew Fook (PH-Seremban) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, yang bertanyakan bagaimana pengumuman oleh kerajaan Pahang sebelum ini mengenai pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman dibenarkan jika tanpa kelulusan diberi.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pengumuman dibuat kerajaan Pahang pada penghujung tahun lalu adalah melalui Majlis Perancangan Fiskal Negara (MPFN).
"Pembentangan dibuat pihak (kerajaan) Pahang juga, selepas kita melihat Pahang ini antara negeri yang kita tidak pernah membina lapangan terbang awam. Bermaksud apa yang kita gunakan sekarang adalah untuk kegunaan tentera.
"Jadi dalam konteks ini, mesyuarat MPFN tahun lalu sudah meluluskan secara dasar dan (pembinaannya) masih perlu melalui proses yang saya katakan tadi, kelulusan menteri (kerajaan pusat) dan AOL.
"Sekarang masih dalam peringkat penyediaan semua laporan seperti disyaratkan. Jadi belum dapat kelulusan akhir. Masih dalam proses untuk memenuhi pematuhan akta seperti disyaratkan," katanya.
Menjawab soalan asal Siew Fook, Kas Siong menjelaskan, sehingga kini, tiada kelulusan diberikan untuk menubuhkan aerodrom berhubung cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu seperti mana yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016.
"Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman juga tertakluk kepada hasil Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) yang bermula pada Mac 2022 lalu.
"Kajian ini akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan dan meliputi kesemua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu. Kajian ini antara lainnya akan turut meneliti sama ada cadangan projek itu berdaya saing atau tidak," katanya.
Berhubung penentuan kriteria kelestarian alam sekitar ke atas cadangan projek ini, Ka Siong berkata, perkara ini sedang dalam penelitian pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu hanya akan dipertimbangkan apabila kajian NASP disiapkan serta pematuhan kepada semua syarat ditetapkan agensi kerajaan yang lain seperti dinyatakan dalam laporan teknikal terbabit," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments