top of page

Negara perlu fokus projek jangka sederhana, panjang


Dalam jangka sederhana dan panjang, strategi ekonomi perlu difokuskan untuk meningkatkan daya saing ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur kepada ekonomi kita. - NSTP/Osman Adnan

TIDAK dinafikan 2020 antara tahun paling mencabar dalam sejarah Malaysia. Ekonomi negara secara teknikalnya berada pada tahap kemelesetan, manakala ekonomi global menghadapi krisis terburuk sejak the Great Depression pada 1930-an.


Ini jelas disebabkan kesan pandemik COVID-19. Dari segi pengurusan ekonomi, kerajaan sudah melaksanakan dasar yang proaktif dan prihatin dalam menangani cabaran wabak ini.


Kerajaan menggerakkan pendekatan '6R' iaitu Resolve (Ketegasan), Resilience (Ketahanan), Restart (Memulakan Semula), Recovery (Pemulihan), Revitalize (Menghidupkan Semula) dan Reform (Penyusunan Semula).


Selain itu, empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion diumumkan pada 2020.


Jumlah itu mewakili 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu yang terbesar dalam sejarah negara.Dasar monetari juga begitu akomodatif, dengan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) lebih daripada 100 asas mata.


Mendepani 2021 pula, kita dikejutkan dengan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.


Adakah ini satu tindakan tepat daripada Kerajaan Malaysia? Apakah yang boleh ditafsirkan daripada pembatalan projek HSR ini?


Apabila kita memasuki 2021, ia menandakan berakhir satu perjalanan yang begitu panjang dalam sejarah ekonomi negara. Ia menandakan berakhirnya satu hala tuju yang dimulakan pada 1991 iaitu Wawasan 2020.


Wawasan 2020 itu sendiri bukan satu bentuk pelan ekonomi. Namun, dalam fasa Wawasan 2020 itu yang membabitkan perjalanan dari 1991 hingga 2020, kita meletakkan pelbagai dasar dan strategi ekonomi — baik jangka pendek, sederhana dan panjang.


Ia bermula dengan Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) pertama sehingga Program Transformasi Ekonomi. Bermula daripada Rancangan Malaysia Keenam (RMKe-6) hingga RMKe-11 dan daripada Belanjawan 1991 hingga Belanjawan 2020.


Hakikatnya, sama ada Wawasan 2020 itu gagal atau sebaliknya tidak relevan, kerana seperti dikatakan tadi, ia bukan satu bentuk pelan ekonomi.


Persoalan perlu difikirkan adalah sejauh mana kekuatan ekonomi kita dibina sepanjang 30 tahun perjalanan ini.


Terdapat dasar spesifik yang direncana sepanjang fasa Wawasan 2020, seperti dasar penswastaan, dasar pandang ke timur, dasar industri berat, dasar automatif, dasar projek mega, dasar persyarikatan Malaysia dan sebagainya.


Dalam konteks HSR ini pula, jika dilihat daripada perspektif dasar, ia bukan satu perkara baharu. HSR adalah projek jangka panjang, seperti yang pernah dilakukan dalam projek pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan ataupun pembinaan transit aliran ringan (LRT).


Kita mempunyai keyakinan untuk membina projek mega seperti ini dulu dan jelas, manfaatnya dapat kita nikmati pada hari ini.


Di sinilah sudut pandang kepentingan projek HSR ini dilihat. Kesan pengganda dibawanya amat tinggi pada masa ini dan juga masa depan, terutama dalam mencipta peluang pekerjaan, perniagaan dan juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.


Ketiga-tiga elemen ini sangat penting ketika ini, ketika kita berdepan cabaran ekonomi kesan daripada pandemik COVID-19 ini.


Pada 2020, segala bantuan, inisiatif dan program jangka pendek sudah disusun dan dirancang dengan baik.


Ia berjaya menyelamatkan sebilangan besar perniagaan daripada gulung tikar, mengelakkan sebilangan besar pekerja daripada dibuang, memberikan ruang untuk rakyat 'menarik nafas' dan meneruskan aktiviti harian mereka serta membeli barangan keperluan asas, terutama makanan dan dapat mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi yang lebih teruk pada 2020.


Jadi, pada 2021 pula, sudah tiba masanya untuk kita memikirkan perancangan ekonomi jangka sederhana dan jangka panjang.


Dalam jangka sederhana dan panjang, strategi ekonomi perlu difokuskan untuk meningkatkan daya saing ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur kepada ekonomi kita.


Dalam jangka masa sederhana dan panjang, selain memperkasakan sektor kesihatan negara dan juga pengurusan vaksin COVID-19, kerajaan perlu mencari penyelesaian kepada masalah struktur yang dihadapi ekonomi kita.


Masalah utama dimaksudkan di sini ialah masalah perangkap pendapatan sederhana, ataupun middle-income trap. Selagi kita tidak dapat mengatasi masalah ini, ekonomi kita akan terus ketinggalan.


Maksudnya, kita tidak dapat bersaing dengan negara seperti Vietnam atau Indonesia kerana ekonomi kita lebih baik berbanding mereka, tetapi ekonomi kita juga tidak begitu baik untuk menyaingi ekonomi berpendapatan tinggi seperti Singapura, Taiwan, atau Korea Selatan.


Akhirnya, kita akan terus ketinggalan jika tidak ada dasar atau strategi yang komprehensif dan hala tuju ekonomi yang jelas pada 2021 ini.


Memang betul RMKe-12 boleh membantu, namun kita perlu melihat lebih daripada itu. Kita ambil contoh Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). Sasaran yang diletakkan dalam wawasan itu, iaitu pertumbuhan ekonomi pada kadar purata 4.7 peratus dari tahun 2021 hingga 2030.


Realitinya, ia tidak membantu kita keluar daripada perangkap pendapatan sederhana ini, apatah lagi untuk mendepani cabaran pandemik COVID-19 dengan kadar hutang dijangka terus meningkat.


Begitu juga isu ekonomi digital, ekonomi mampan, reformasi sistem pendidikan dan pasaran buruh kita serta sistem pengangkutan awam yang bertaraf dunia.


Walaupun isu jangka pendek penting, kita tidak boleh melupakan perancangan ekonomi jangka sederhana dan panjang yang lebih penting ketika ini.


Penulis adalah Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM)


13 views
bottom of page