KUALA LUMPUR: Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) akan diteruskan, namun kos pembangunannya mungkin disemak semula, demikian menurut penganalisis.
Penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely, berkata tiga kontraktor iaitu Gamuda Bhd, IJM Corporation Bhd dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan perunding kejuruteraan, HSS Engineers Bhd menjangkakan MRT3 akan diteruskan tetapi tidak menolak kemungkinan projek mega itu tertakluk kepada semakan kecil.
Katanya, semakan terbabit dijangka membabitkan kos dan dalam aspek lebih besar, projek MRT3 dijangka membabitkan penangguhan tender kepada akhir separuh pertama 2023 berbanding suku pertama tahun ini.
"IJM Corp dan MRCB melalui konsortiumnya sudah mengemukakan bidaan untuk ketiga-tiga pakej kerja awam manakala Gamuda bersaing untuk satu tender untuk bahagian bawah tanah terbesar," katanya dalam nota penyelidikan.
Projek MRT3 dianggarkan membabitkan kos RM50.2 bilion secara keseluruhan, dengan anggaran kos pembinaan sahaja mencecah RM34.3 bilion.
Daripada jumlah itu, RM8.4 bilion membabitkan kos pengambilan tanah, manakala RM5.6 bilion lagi adalah untuk pengurusan projek serta lain-lain kos, RM1.9 bilion.
Sebelum ini, kerajaan pada 4 Mac 2022 bersetuju dengan pelaksanaan projek MRT3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu milik dan cekap untuk keselesaan dan kemudahan rakyat.
Cadangan laluan MRT3 itu membabitkan jajaran sekitar 51 kilometer (km) dan mempunyai 31 stesen, di mana 10 akan menjadi stesen pertukaran dengan lapan laluan rel sedia ada di Lembah Klang.
Sementara itu, penganalisis Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB), Edwin Woo, berkata kontrak sivil projek MRT3 yang dinanti-nantikan tidak menjadi kenyataan pada Disember lalu disebabkan Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, penangguhan penganugerahan projek itu menyebabkan jumlah kontrak pembinaan pada suku terakhir tahun lalu menyusut empat peratus kepada RM18.6 bilion
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor pembinaan dengan pemangkin utama adalah laporan berkaitan projek MRT3 dan anugerah projek mega lain.
"Risiko kepada sektor ini adalah pembatalan projek MRT3, harga bahan binaan yang terus meningkat, kekurangan pekerja dan ketidakstabilan politik," katanya dalam nota penyelidikan.
Dalam pada itu, Woo berkata, gambaran bagi sektor pembinaan kekal tidak menentu tahun ini meskipun Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari depan boleh memberi isyarat jelas mengenai hala tuju Malaysia.
Katanya, HLIB menjangkakan mungkin terdapat pengurangan dalam perbelanjaan pembangunan (DE) daripada RM95 bilion seperti yang dibentangkan pada Oktober lalu.
"Angka DE yang disemak mungkin berada pada paras RM85 bilion termasuk pembayaran balik bon 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah AS$3 bilion (RM13.19 bilion)," katanya.
Beliau menjelaskan, sebahagian besar tumpuan DE dalam belanjawan akan datang memberi fokus kepada projek tebatan banjir, penjagaan kesihatan/hospital, air dan pelbagai projek infrastruktur di Sabah serta Sarawak.
"Dalam kes projek MRT3, kami menjangkakan akan ada semakan bukannya pembatalan. Memandangkan pembentangan dan kelulusan yang agak lewat, kami berpendapat terdapat risiko pelaksanaan DE yang lebih tinggi," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments