top of page

MRT Corp lantik bekas CEOnya sebagai Pengerusi baharu


(Gambar fail) Datuk Azhar Abdul Hamid. - Foto: NSTP/ SAIRIEN NAFIS

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) melantik Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi syarikat itu berkuat kuasa 11 Mei lalu.


Perlantikan itu juga ibarat sirih pulang ke gagang kerana Azhar sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp dari 2011 sehingga 2014.


CEO MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata kepulangan semula Azhar itu akan membantu MRT Corp ke arah pertumbuhan masa hadapan dengan pengalaman industrinya yang luas.


"Sebagai CEO pengasas MRT Corp, pengalaman dan pengetahuan Azhar adalah tidak ternilai ketika kumpulan dalam langkah mengembangkan Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System Link Project dan projek MRT 3 Circle Line serta laluan MRT Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sebelum pelantikannya sebagai pengerusi MRT Corp, Azhar adalah Pengerusi FGV Holdings Sdn Bhd dari 2017 hingga April 2021.


Setelah meninggalkan MRT Corp pada 2017, beliau telah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai Pengerusi MSM Malaysia Holdings Sdn Bhd; Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation; Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan dan kemudian Pengerusi Tradewinds Corporation Bhd.


Sebelum berkhidmat sebagai CEO MRT Corp, Azhar adalah Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Sdn Bhd, cabang perladangan dan perniagaan agro konglomerat Sime Darby Bhd.


Azhar memulakan karier dengan British Telecom Plc, United Kingdom pada 1989 sebagai Pengurus Audit Dalaman.


Beliau menyertai Sime Darby pada 1994 sebagai Pengawal Kewangan di Sime Tyres International Sdn Bhd.


Sebelum menjawat Pengarah Urusan Sime Darby Plantation, Azhar adalah Pengarah Urusan Sime Plantations Sdn Bhd dan Pengarah Bahagian Perladangan dan Makanan Sime Darby.


Azhar dilantik sebagai CEO MRT Corp pada 1 September 2011 sejajar keputusan kerajaan untuk menubuhkan sebuah syarikat bagi mengambil alih pemilikan dan membangunkan Projek MRT Lembah Klang daripada Syarikat Prasarana Malaysia Bhd.


Sepanjang perkhidmatannya sebagai CEO, Azhar memperkenalkan konsep persetujuan bersama dengan pemilik yang mana tanah mereka terbabit dengan projek MRT.


Persetujuan bersama yang dimeterai dengan pemilik, membolehkan tiada tanah yang diambil alih secara paksa oleh kerajaan, membolehkan tanah persendirian wujud bersama dengan jajaran MRT.


Selain menyelesaikan isu tanah yang membuka jalan kepada pelaksanaan projek MRT, langkah diambil Azhar berjaya mengurangkan kos pengambilalihan tanah yang perlu dibayar kerajaan sebanyak RM1.5 bilion.


Azhar juga menekankan keperluan meningkatkan keselamatan industri pembinaan dan secara peribadi berusaha membina mekanisme untuk mencapai matlamat itu.


Azhar turut mewujudkan Sistem Prestasi Penilaian Kontraktor (CONPAS) yang mana penilaian ciri keselamatan, kesihatan dan alam sekitar projek oleh seseorang kontraktor akan dikira dan menyenarai hitam kontraktor yang melanggar prosedur keselamatan.


Sumber: Berita Harian

Commentaires


bottom of page