top of page

MRCB raih keuntungan lebih rendah



KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) susut 79 peratus kepada RM5.7 juta, manakala pendapatan pula merosot 47 peratus kepada RM226.7 juta bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.


MRCB dalam satu kenyataan berkata, prestasi kewangan kurang memberangsangkan yang diraih syarikat pada suku dikaji disebabkan impak penutupan beberapa tapak pembinaan sebagai langkah berjaga-jaga ketika kes COVID-19 dikesan menjelang akhir tahun lalu.


"Ini bukan sahaja menjejaskan kemajuan pembinaan pada 2020, malah memberi kesan kepada kemajuan pembinaan dan pengebilan pada suku pertama tahun ini," katanya.


Bagi tempoh dikaji, bahagian pelaburan dan pembangunan hartanah mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak 44 peratus kepada RM132.2 juta daripada RM236.4 juta dan keuntungan operasi juga merosot 46 peratus kepada RM13.1 juta daripada RM24.2 juta pada suku pertama tahun lalu.


Bahagian itu menjual RM51.6 juta hartanah pada suku pertama tahun ini dan jualan hartanah belum dibilkan berjumlah RM1.0 bilion.


"Prestasi kukuh yang dicatatkan tahun lalu terutamanya disebabkan penciptaan pendapatan daripada projek 1060 Carnegie.


"Walaupun kadar jualan 1060 Carnegie kekal tinggi, kepantasan mencapai penyelesaian kewangan bagi unit yang berjaya dijual baru sahaja meningkat berikutan kelonggaran sekatan perjalanan pada akhir 2020 yang mempengaruhi kewangan pada suku pertama tahun ini.


"Bahagian ini turut menyaksikan sumbangan lebih tinggi daripada projek Sentral Suites di KL Sentral dan TRIA 9 Seputeh, yang masing-masing merekodkan peningkatan pendapatan 12 dan 169 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, ketika kemajuan pembinaan semakin meningkat," katanya MRCB.


Bahagian Kejuruteraan, Pembinaan & Alam Sekitar pula mencatatkan pendapatan RM84.4 juta dan kerugian operasi RM1.6 juta pada suku pertama tahun ini.


Pendapatan bahagian itu disumbang oleh Ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kwasa Sentral, Pakej CB2 Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam, Pakej Jajaran Mass Rapid Transit 2 dan Pakej CA2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu.


MRCB berkata, pendapatan dan keuntungan lebih rendah yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pengiktirafan pendapatan tertangguh susulan penutupan pelbagai tapak binaan di beberapa tapak projek menjelang akhir 2020.


Katanya, ia termasuk kebanyakan projek pembinaan infrastruktur berskala besar yang hampir siap ketika pengiktirafan pendapatan dan keuntungan adalah minimum.


"Syarikat usaha sama projek LRT3 yang dikuasai 50 peratus syarikat menyumbang untung selepas cukai RM5.9 juta berbanding RM1.2 juta yang diraih pada tempoh yang sama pada tahun lalu," katanya.

Sumber: Berita Harian

13 views
bottom of page